suria

Danial Juara Idola Kecil Ultra

Danial Cheur Hamasiah.
KUALA LUMPUR: Bekas juara program Idola Kecil musim keenam, iaitu Danial Cheur Hamasiah muncul sebagai juara pertandingan Idola Kecil Ultra yang diadakan di KL Live @ Life Centre dekat sini, malam Sabtu.

Danial, 13, mendendangkan lagu nyanyian asal Christina Aguilera iaitu Hurt dan sebuah lagu baharu berjudul Sinar Pelangi yang turut menampilkan penyanyi Asmidar berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM30,000 berserta trofi.

Selain hadiah tersebut, Daniel juga membawa pulang kontrak bernilai RM50,000 bersama The Talent Unit yang akan menerbit dan menguruskan kerjaya nyanyiannya pada masa hadapan.


Danial ketika ditemui nyata terkejut dengan kemenangan kali keduanya itu kerana mengakui saingan daripada tiga peserta lain amat sengit pada malam kemuncak itu.

"Saya memang tak sangka sebab kawan-kawan lain turut membuat persembahan yang hebat. Apabila diumumkan sebagai pemenang dan melihat gambar saya yang keluar di skrin, saya akui sangat terkejut kerana terlalu teruja untuk mengetahui keputusannya," katanya.

Idola Kecil Ultra dicetuskan selepas kejayaan program realiti kanak-kanak Nombor Satu Malaysia, iaitu Idola Kecil yang telah pun bersiaran selama enam musim di TV9 dan memperlihatkan persaingan 30 peserta terbaik menerusi musim terdahulu.

Tempat kedua menjadi milik Muhammad Azzamuddin Lop Hashim atau Azzam, 17, finalis daripada Idola Kecil musim ketiga.

Azzam mendendangkan lagu nyanyian asal Azlan & The Typewriter iaitu Kelibat dan sebuah lagu baharu berjudul Dengar duet bersama Awi Rafael.

Manakala Harris Alif Rashidi atau Harris, 15, juara Idola Kecil musim ketiga terpaksa berpuas hati ditempat ketiga.

Harris mendendangkan lagu nyanyian asal John Legend, All Of Me dan sebuah lagu baharu berjudul Destinasi duet bersama Radhi dari kumpulan OAG.

Satu-satunya finalis perempuan iaitu Nor Balqis Ahmad Tajuddin atau Balqis, 15, daripada Idola Kecil musim ketiga berada ditempat terakhir.

Balqis mendendangkan lagu nyanyian asal Datuk Siti Nurhaliza berjudul Nirmala dan sebuah lagu baharu iaitu Nyawa duet bersama Aepul.

Penjurian kali ini memperlihatkan 90 peratus daripada markah diadili oleh juri profesional iaitu Tomok, Akim Ahmad dan Elfira Loy manakala 10 peratus lagi diadili oleh peminat.

Dalam perkembangan sama, Idola Kecil Ultra turut menyampaikan Anugerah Idola Ultra kepada Azzam yang dipilih oleh peminat menerusi laman web TV9 sebelum pertandingan akhir bermula.

Program itu dihoskan oleh Aliff Satar.

Sementara itu, Pengurus Besar TV3 dan TV9, Sherina Nordin berkata, program berkenaan diwujudkan kerana tidak mahu mempersia-siakan bakat peserta daripada keenam-enam musim sekaligus memperlihatkan penerbitan Idola Kecil Ultra yang menyaksikan pertarungan antara 30 finalis terbaik sepanjang enam musim.

"Menerusi Idola Kecil Ultra ini juga, kita dapat melihat perubahan vokal mereka yang semakin mantap dan persembahan mereka yang lebih  berkeyakinan," katanya.

Idola Kecil Ultra disiarkan secara langsung menerusi saluran TV9 pada pukul 8.30 malam.


Danial, Idola Kecil

Artikel Lain