suria

Pengarah Yakin 'Suatu Malam Kubur Berasap 2' Pecah Panggung

Antara artis yang hadir di majlis pratonton filem SMKB di GSC Maxx, Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, Ahad.
KUALA LUMPUR: Pengarah filem Suatu Malam Kubur Berasap 2 (SMKB 2), Ernie Chen yakin karyanya yang bakal ditayangkan 12 Jun ini mampu mencapai kutipan pecah panggung.

Ernie berkata, karyanya itu mempunyai pengikut yang tersendiri dan kejayaan filem pertama SMKB sebelum ini yang mendapat kutipan RM4.1 juta pada tahun 2011 membuatkan dia  bersemangat mahu menghasilkan SMKB 2, dengan plot penceritaan yang baharu.

"Apabila SMKB mampu menarik perhatian penonton dengan kadar kutipan yang tinggi, saya yakin filem ini mampu mencapai kejayaan yang lebih tinggi.

"Kalau boleh saya mahu kutipan filem ini melebihi filem The Journey (yang mendapat RM17 juta)," katanya.

Ernie ditemui pada majlis pratonton filem SMKB di GSC Maxx, Berjaya Times Square di sini pada Ahad.

Turut hadir barisan pelakon filem tersebut Azad Jazmin, Rahim (R2), Siti Chubby dan kumpulan Cuit.

Dalam pada itu, tambah Ernie, dia juga mahu filem SMKB dijadikan kepada sebuah filem francais yang mampu di bawa sehingga ke peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Ernie berkata, bagi filem SMKB 2, dia telah melaburkan sebanyak RM550,000 untuk tujuan promosi ke seluruh negara.

"Saya telah menyediakan sebuah trailer untuk dijadikan rumah hantu SMKB. Ia akan berada di seluruh negara bagi acara-acara tertentu sebagai mempromosikan filem ini.

"Saya percaya promosi yang bagus mampu menarik perhatian orang ramai  ke panggung," ujarnya.

SMKB 2 mengisahkan tentang Amir dan Nayan mendapat tawaran  berlakon di dalam sebuah filem seram.

Memandangkan mereka tidak pakar dalam lakonan seram, mereka mahu merasai pengalaman seram di kampung mereka sendiri

Mereka bersama pengurusnya Chot telah ke rumah seorang bomoh bernama Tok Mat di kampung mereka dan mula kejadian-kejadian yang tidak diingini yang menakutkan Chot, Nayan dan Amir.

Ernie Chen, SMKB 2

Artikel Sebelum

Artikel Lain