suria

Sharifah Zarina Kendalikan Bisnes Umrah

Sharifah Zarina kini sibuk menguruskan pakej umrah milik syarikatnya.
PETALING JAYA: Penyanyi Sharifah Zarina mengakui kini sedang berjinak-jinak dalam menguruskan pakej ibadah umrah di bawah syarikatnya iaitu AZ Travel & Tours.

Sharifah Zarina, 32, berkata, pakej umrah pertama yang bakal dibawanya pada bulan Disember depan turut dibantu oleh abang ipar yang berpengalaman luas dalam bidang tersebut.

"Ini perniagaan baru yang saya ceburi dan Insya-Allah ia berjalan lancar kerana saya turut dibantu oleh orang-orang yang berpengalaman dalam bidang ini.

"Biarpun pakej kami agak mahal sedikit namun saya jamin keselesaan dan kemudahan yang pihak kami uruskan sangat berbaloi dengan harga tersebut," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Sharifah Zarina berkata, pada peringkat permulaan pakej ini hanya dibuka kepada 38 orang sahaja dengan berharga RM8,650 hingga RM8,950.

Katanya, aktiviti dan lawatan yang ditawarkan dalam pakej berbeza daripada yang kebiasaannya dilakukan oleh agensi lain.

Sementara itu, Sharifah Zarina yang menunaikan umrah pada tahun lalu menceritakan kenangan manis sepanjang menjalani ibadah umrah iaitu berpeluang memegang di pintu Kaabah.

Jelasnya, perkara tersebut juga menguatkan semangatnya untuk kembali smeula ke Tanah Suci itu.

"Pengalaman paling manis yang membuatkan saya rasa ingin ke sana lagi ialah dapat bergayut di pintu Kaabah beberapa minit sehingga disuruh turun.

"Ketika itu juga saya mengambil peluang berdoa bersungguh-sungguh sambil menangis," ujarnya.
Sharifah Zarina

Artikel Lain