suria

Johan As'ari Akan Bersikap Professional Dengan Nabila Huda

Johan akan terus berada di bawah pengurusan Wirefame.
PETALING JAYA: Pelakon Johan As'ari bersedia dan akan belajar bersikap profesional untuk digandingkan bersama pelakon Nabila Huda selepas mereka putus cinta.

Johan, 28, berkata, dia menerima tawaran drama berjudul Udin Glamor Balik Kampung  bagi musim kedua di RTM itu selepas Nabila terlebih dahulu bersetuju untuk digandingan dengannya.

"Saya yakin tiada masalah untuk kami digandingkan sekali lagi apabila drama tersebut mendapat rating yang tinggi pada musim pertama dahulu.

"Saya terima tawaran ini selepas Nabila sendiri bersetuju digandingkan dengan saya dan saya akan belajar untuk bersikap profesional ketika bekerjasama nanti," katanya kepada mStar Online.

Tambah Johan, selama ini hubungannya dengan pelakon wanita itu tiada masalah dan dia ada berhubung untuk bertanya khabar.

Malah dia juga masih berkawan rapat dengan wanita-wanita yang sebelum ini pernah dikaitkan bercinta dengannya.

"Saya baik juga dengan Fasha Sandha dan Shila Amzah terutama apabila mereka mengenali keluarga saya dan pada majlis Anugerah Bintang Popular 2013 baru-baru ini saya ada bertegur sapa dengan Izreen Azminda," katanya.

Nabila Huda

Dalam pada itu, Johan mengakui kegagalan hubungan percintaan yang dilalui banyak memberi pengajaran dan mematangkan dirinya sebagai seorang lelaki.

Pelakon Juvana ini pernah dikaitkan bercinta dengan beberapa selebriti seperti Nabila HUda, Izreen Azminda, Shila Amzah, Fasha Sandha dan terbaharu Lana Nodin.

Sementara itu, ditanya sama ada kontroversi yang dilalui terutamanya ketika berpisah dengan Lana Nodin menjejaskan kerjayanya sebagai pelakon, Johan berkata rezekinya masih sama seperti dahulu.

"Saya percaya rezeki adalah daripada Allah dan Alhamdulillah, setakat ini ia masih sama seperti sebelum berlaku kontroversi cuma mungkin banyak produk saya yang belum keluar," katanya.

Dalam pada itu, Johan turut mengulas tentang syarikat pengurusannya iaitu Wire Fame yang kini bermasalah dan menganggap dia masih ingin bernaung di bawah pengurusan tersebut.

Dia juga tidak mempunyai sebarang masalah dengan pihak pengurusan tersebut malah berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan selama ini.

"Saya sudah tiga tahun bersama Wire Fame dan tidak ada masalah, jika berlaku masalah sekalipun kami akan selesaikan secara baik.

"Bagi saya syarikat pengurusan itu sentiasa menyokong kerjaya saya dengan baik dan saya akan terus bersama mereka," katanya.

WFE merupakan syarikat milik bersama pelakon dan pelawak Zizan Razak dan bekas pengurusnya, Marina Juki yang dikatakan kini sudah tidak lagi sehaluan.

Bercakap tentang filem Juvana 2, filem ini mengisahkan bagaimana Daim (Zahiril Adzim), Botak (Johan) dan Ayam (Adam Shah) cuba menyesuaikan diri mereka di dalam masyarakat.

"Cabaran kali ini apabila saya berlakon dengan barisan pelakon hebat dan akan bermain dengan emosi dan konflik.

"Apa yang menarik untuk filem kali ini ialah babak pergaduhan antara Daim dan Botak", katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain