suria

Gandingan Pelakon Baharu Gamatkan Teater 'Projek Kahwin'

KUALA LUMPUR: Gandingan pelakon Sherry Al-Hadad,30, dan Zulin Aziz,25, ternyata berjaya berjaya mengamatkan suasana sekali gus menghidupkan pementasan teater Projek Kahwin yang dibuka pentasnya di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 6 hingga 14 Jun ini.

Aksi dan keletah dua pendatang baharu dalam industri hiburan yang membawa watak Puan Khatijah dan Mak Long itu ternyata memberi impak kepada penonton biarpun tampil sekadar watak sokongan.

Latar belakang kedua-dua pelakon ini sebagai penggiat teater sebelum ini dapat dilihat daripada lontaran suara dan kawalan pentas untuk menghidupkan karakter tersebut sebagai watak dinanti-nantikan kemunculannya.

Selain itu, pelakon utama Izzue Islam dan Kila Fairy yang membawakan watak Rizal dan Nisa juga harus dipuji kerana keberanian mereka bermain di pentas berskala besar ini berjaya seiring dengan pelakon-pelakon teater yang lain.

Sementara itu, lakonan penyanyi Kaka Azraf dan Shah Iskandar tidak mengecewakan, namun masih belum memberi kesan kepada penonton yang hadir pada malam pertama iaitu Jumaat lalu. 

Bagaimanapun, mereka masih mempunyai masa mencari keserasian dan keselesaan di atas pentas bagi pementasan seterusnya.
>
Kemunculan kumpulan Forteen sebagai penampilan khas juga harus dipuji kerana biarpun hanya satu babak sahaja, mereka mampu membawakan watak kumpulan orang buta dengan baik.

Kumpulan Forteen muncul sebagai penampilan istimewa.

Projek Kahwin berkisarkan tentang suasana yang berlaku dalam sebuah perkahwinan yang secara keseluruhannya melibatkan masyarakat Melayu negara ini.

Rizal dan Nisa yang mengambil keputusan untuk berkahwin terpaksa berhadapan dengan permintaan keluarga pihak perempuan yang inginkan perkahwinan dibuat secera besar-besaran.

Biarpun jalan cerita yang disampaikan mudah dan ringkas, namun banyak mesej yang cuba disampaikan terutama sekali perspektif perkahwinan dalam masyarakat tempatan terutama berbangsa Melayu.

Pengarah turut menyelitkan beberapa kajian tentang pendapat orang ramai terhadap perkahwinan yang mereka impikan.

Kila Fairy dan Izzue Islam teraju utama teater Projek Kahwin

Sementara itu, kemunculan Imam Muda Asyraf ditampilkan dalam satu segmen khas bercerita tentang perkahwinan daripada sudut agama Islam secara ringkas dan padat.

Menurut pengarah Muhammad Azri, secara keseluruhan pelakon mambawakan watak masing-masing dengan baik, namun ada beberapa babak yang perlu diperbaiki lagi.

"Ada beberapa ayat yang sudah dibuang sepatutnya, tetapi pelakon sudah biasa dengan ayat-ayat itu sehingga terlupa untuk membuangnya menjadikan ia panjang dan berulang.

"Saya yakin pada malam seterusnya akan lebih baik dan keserasian antara pelakon dapat dilihat," katanya.

Teater Projek Kahwin yang diarahkan oleh Muhammad Azri Ali ini turut dibarisi pelakon Hanez Suraya, Shah Iskandar, Kaka Azraff, Fazleena Hishamuddin, Syaiful Bahri, Shahrul Mizad, Imam Muda Asyraf dan kumpulan Forteen.

Projek Kahwin

Artikel Lain