suria

Filem 'Abang Long Fadil', Yusof Haslam Kesali LPF

Yusof Haslam berharap pihak LPF lebih terbuka dalam menapis sesebuah filem tempatan.
PETALING JAYA: Penerbit filem Datuk Yusof Haslam meluahkan rasa kesal apabila karya anaknya, Syafiq Yusof iaitu Abang Long Fadil  diberi had tontonan untuk golongan 18 tahun ke atas (PG18) oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Yusof berkata, dia terkejut dengan keputusan LPF itu kerana karya berkenaan hanyalah sebuah filem dengan babak yang penuh aksi lawan selain berunsur komedi.

Sedangkan banyak filem lain terutamanya karya antarabangsa yang lebih ganas tetapi diberi pula tontonan untuk golongan berumur 13 tahun ke atas (P13).

"Abang Long Fadil akan ditayangkan pada 29 Mei ini dan ia jatuh pada musim cuti sekolah dan sayang sekali filem ini tidak dapat ditonton oleh budak sekolah kerana klasifikasinya ialah PG18.

"Saya rasa sangat kecewa apabila LPF tidak terbuka dengan filem-filem Melayu, sebaliknya mereka lebih terbuka dengan filem luar negara.

"Sudahlah ia mendapat sembilan kali potongan, diberi pula had tontonan hanya untuk golongan yang berusia 18 tahun ke atas," katanya dengan nada kesal kepada mStar Online.

Tambah Yusof, pihak LPF sepatut lebih bersikap terbuka dalam menapis sesebuah filem tempatan kerana kebanyakkan filem Melayu sering ditapis sedangkan ia bukanlah babak yang boleh menjejaskan fikiran penonton.
syafiq yusof
Syafiq Yusof

Dalam pada itu Yusof berkata ia juga sedikit sebanyak boleh menjejaskan industri filem negara tanpa sedar.

"Saya harap isu filem ditapis tanpa alasan relevan tidak berlaku lagi. Bukannya saya nak minta pihak LPF bersikap terbuka sehingga melanggar adat dan tatasusila budaya negara Timur.

"Kalau nak cakap filem Melayu boleh mengubah fikiran penonton ke arah perkara negatif, tak perlu susah-susah. Di laman sosial YouTube sendiri, video-video yang di muat naik lebih dasyat malah banyak berunsur lucah," tegasnya.

Abang Long Fadil  merupakan kesinambulangan filem KL Gangster  berkonsepkan gangster komedi parodi menampilkan barisan pelakon Aaron Aziz, Syamsul Yusof, Kamal Adli, Soffi Jikan, Tauke Raja Lawak, Yassin Senario, Arman Graseka, Zizan Razak dan Harun Salim Bachik.

Filem ini mengisahkan tentang Abang Long Fadil lakonan Zizan Razak mahu menjadi samseng sehebat Malik (Aaron) dan Shark (lakonan Syamsul Yusof).

Selepas keluar daripada kumpulan gangster Shark, Fadil diminta untuk menawan Kampung Berani menjadi ketua gangster di kampung tersebut agar tidak dibunuh oleh Shark.

Abang Long Fadil  bakal ditayangkan di 81 pawagam bermula 29 Mei 2014.

Artikel Lain