suria

Kongsi Maklumat Trafik Di Kumpulan Radio Star

Kudsia Kahar bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal pada majlis menandatangani (MoU) diantara DBKL dan agensi-agensi Blue Ocean Strategy dalam perlaksanaan pengurusan lalulintas, di Menara DBKL, pada Selasa.

KUALA LUMPUR: Kumpulan Radio Star mengalu-alukan kerjasama daripada pendengar untuk menghubungi semua stesen rangkaian radio itu untuk berkongsi maklumat trafik di ibu negara dalam usaha meringankan kesesakan lalu lintas.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Star Radio, Kudsia Kahar berkata, bantuan pendengar adalah diperlukan terutamanya di lokasi yang tidak mendapat liputan kemera litar tertutup pihak berkuasa.

"Kita sangat mengalu-alukan kerjasama daripada pendengar menghubungi mana-mana stesen radio kami sama ada Suria FM, Red FM, 988 FM, atau Capital FM untuk menyampaikan info yang berlaku di sekeliling mereka berkaitan gangguan lalu lintas.

"Cara tersebut dapat membantu usaha mengurangkan kesesakan. Ada lokasi kesesakan yang mungkin tidak mendapat liputan kamera litar tertutup dan memerlukan maklumat daripada orang awam," ujarnya kepada mStar Online di sini pada Selasa.

Kudsia ditemui pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) di antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan agensi-agensi bawah Blue Ocean Strategy.

Antara agensi lain yang terlibat dalam perjanjian Blue Ocean Strategy ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Kumpulan Radio Star merupakan stesen rasmi dalam perlaksanaan pengurusan lalu lintas di DBKL.

Sementara itu, Kudsia berkata, pihaknya juga lebih kerap menyiarkan maklumat tentang kesesakan lalu lintas pada waktu-waktu kemuncak iaitu setiap 20 minit.

"Kami mengambil serius perkara ini sebagai masalah utama masyarakat dan kami berusaha menyalurkan info tentang kesesakan setiap 20 minit sekali.

"Kami merupakan stesen radio paling kerap menyiarkan laporan trafik berbanding stesen radio lain yang hanya memberi maklumat kesesakan setiap sejam sekali sahaja," ujarnya.

Dalam pada itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal berkata, kerjasama ini bertujuan menguruskan insiden seperti kemalangan, bencana alam dan kerosankan di jalan raya dapat diatasi dengan kadar yang segera.

Tambahnya, melalui kerjasama bersama Kumpulan Radio Star itu, maklumat trafik dapat dihebahkan secara cepat dan berkesan secara tidak langsung memudahkan kerja agensi-agensi yang terlibat.

Suria FM, Kumpulan Radio Star

Artikel Lain