suria

Jenazah Aziz Sattar Selamat Dikebumikan

Solat jenazah Allahyarham Aziz Sattar dilakukan di Surau Al-Amin,Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Jenazah Seniman Datuk Abdul Aziz Sattar, 89, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tun Hussien Onn, Cheras Perdana dekat sini kira-kira pukul 2.10 petang Selasa.
  
Allahyarham sebelum itu dimandikan dan disembahyangkan di Surau Al-Amin Bandar Tun Hussien Onn di sini kira-kira pukul 11 pagi.

Pelakon filem Bujang Lapok itu meninggal dunia di Pusat Perubatan KPJ Kajang pada pukul 2 pagi akibat serangan jantung.

Sementara itu, adik kepada Aziz iaitu Zaini Sattar, 87, ketika ditemui berkata, dia ada menelefon abangnya pada Isnin selepas mendapat tahu Allahyarham dimasukkan ke hospital namun arwah menghalangnya daripada datang melawat kerana memberitahu sudah sihat.

aziz sattar - tanah perkuburan
Suasana di Tanah Perkuburan Islam, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Kuala Lumpur.


Jelas Zaini, Aziz  tidak mahu menyusahkannya untuk datang dari Singapura semata-mata mahu melawatnya.

"Suaranya kedengaran ceria ketika berbual dengannya di telefon dan dia menghalang  saya datang kerana memberitahu keadaannya tidak serius.

"Saya tidak menyangka itu adalah perbualan terakhir kami dan kedatangan saya ke Kuala Lumpur hari ini untuk melihat jenazahnya,” katanya.

Suasana hiba  dikalangan sanak saudara, rakan artis dan sahabat handai  dapat dilihat ketika mereka melawat jenazah yang rata-rata terkejut dengan pemergiannya.

Antara kenalan artis yang dilihat memberi penghormatan kepada Allahyarham adalah Datuk Mustafa Maarof, Datuk Sarimah Ahmad, Datuk Aziz Singah, AR Badul, Norlia Ghani, Datin Rosnani Jamil, Datuk M Nasir, Datuk Hattan dan Datuk Freddie Fernamdez.

Turut kelihatan pelakon Hans Isaac, Melissa Saila, Fauziah Ahmad Daud, Datuk Rosyam Nor Fizo Omar dan Aizat Amdan.

Allahyarham dimasukkan ke Pusat Perubatan KPJ Kajang pada Ahad lalu akibbat serangan jantung namun keadaannya dilaporkan stabil selepas ditempatkan di Unit Rawatan Korinari (CCU).

aziz sattar B
Allahyarham merupakan sabahat baik kepada Seniman Agung, Tan Sri P. Ramlee


Beliau yang merupakan rakan seangkatan  Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berlakon berpuluh-pulah drama dan filem antaranya Nujum Pak Belalang, Siti Muslihat, Raja Laksamana Bentan, Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok, Ali Baba Bujang Lapok dan Pontianak Harum Sundal Malam 1 dan 2.

Allahyarham juga mengarah beberapa buah filem seperti Keluarga Si Comat (1975), Si Badol (1979), Prebet Lapok (1979), Penyamun Tarbus (1980), Da Di Du (1981), Setinggan (1982) dan Darah Satria (1993).

Atas sumbangannya dalam dunia seni, beliau dikurniakan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang membawa gelaran Datuk pada tahun 2007.

Antara kisah menarik Allahyarham, beliau pernah disiksa oleh tentera Jepun kerana dituduh mencuri selain dikenakan penjara selama enam bulan selepas disyaki terlibat dalam kes rusuhan Natrah di singapura pada tahun 1950-an.

Allahyarham pernah empat kali berkahwin tetapi hanya dua pernikahannya sahaja yang lebih diperkatakan iaitu bersama Siti Rumina Ahmad (isteri ketiga bercerai) dan seniwati Dayang Sofia (isteri keempat - bercerai).

Hasil perkongsian hidup, beliau dikurniakan tujuh anak, 20 cucu dan 10 cicit.

Pada 16 Disember 2006 Allahyarham berkahwin dengan Hashimah Delan di Masjid Sultan Abdul Aziz, Shah Alam dekat sini dengan mas kahwin RM100.

Bagaimanapun mereka dikatakan bercerai pada 3 Mac 2012.

Aziz Sattar

Artikel Berikut

Artikel Lain