suria

Karl Shafek Minta Video Siang Ikan Tidak Jadi Isu

Karl Shafek

PETALING JAYA: Pelakon Karl Shafek berharap tidak ada pihak mensensasikan isu rakaman video ikan hidup disiang yang dimuat naik menerusi laman Instagram miliknya pada Ahad lalu.

Karl Shafek atau nama sebenarnya Khairul Shafek Ibrahim, 34, berasa terkejut apabila video tersebut menjadi sensitif kepada segelintir pihak yang menyifatkan rakaman itu menunjukkan seseorang itu kejam kerana menyiang ikan yang masih hidup tanpa memastikan ia mati terlebih dahulu.

"Sebenarnya saya cuma nak tunjuk cara nak masak ikan yang segar sebab itu saya mengeluarkan rakaman video tersebut di Instagram.

"Tak sangka pula ia menjadi sensitif kepada segelintir peminat sedangkan ia merupakan perkara biasa dalam menyiang ikan segar. Ikan itu disiang oleh makcik saya yang menjual ikan patin. Saya hanya merakamkan video.

"Saya harap perkara ini tidak disensasikan kerana ia sekadar video biasa," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada petang Isnin.



Pada Ahad lalu, Karl telah memuatnaik sebuah video individu sedang menyiang ikan patin yang masih hidup.

Video itu mendapat komen daripada para peminat yang mengatakan individu berkenaan sangat kejam kerana menyiang ikan tanpa mengetuk kepala agar ia mati terlebih dahulu sebelum menyiangnya. Ramai yang menganggap Karl Shafek yang menyiang ikan tersebut.

Sementara itu, Karl Shafek berkata, dia seorang yang gemar berkongsi cerita mengenai jenis masakan yang ingin dimasak di Instagram.

"Sebenarnya saya seorang yang suka memasak begitu juga dengan adik-beradik saya yang lain.

"Maklumlah adik-beradik saya tiga orang dan semuanya lelaki. Kami semua diajar memasak oleh emak. Dan apabila masing-masing dah tahu masak, ketika emak sakit, kamilah yang akan memasak untuk dia," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, dia kini sedang menjalani penggambaran drama Masihkah Ada Kasih dan Rindu Awak 200% untuk siaran TV3.

Karl Shafek

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain