suria

Bintang Hollywood, Omar Epps Tidak Perlukan Pembantu Jawab Komen Peminat

Omar Epps (kanan) bersama pelakon Kurtwood Smith yang membintangi siri Resurrection.

KUALA LUMPUR: Pelakon Hollywood iaitu Omar Epps menyifatkan laman sosial sebagai pengantara terbaik untuk dia berkomunikasi dengan para peminat.

Omar atau nama sebenarnya Omar Hashim Epps, 41, berkata, cara itu membuatkan dia lebih rapat dengan golongan berkenaan yang ingin tahu mengenai perkembangan terkininya tanpa perlu menggunakan pembantu untuk menjawab soalan-soalan mereka.

"Saya rasa, tidak adil jika soalan peminat dijawab oleh pembantu sedangkan ia ditujukan kepada saya.

"Setakat ini saya berkomunikasi sendiri dengan peminat kerana ia merapatkan hubungan saya dengan mereka," katanya kepada mStar Online.

Omar ditemui pada sidang media sempena drama bersiri Resurrection di Hotel Hilton KL di sini pada Isnin. Turut hadir, pelakon utama siri tersebut, Kurtwood Smith.

Tambah pelakon yang popular dengan watak Dr. Eric Foreman menerusi siri House ini, dia turut menggunakan laman sosial media sebagai tempat dia melepaskan rindu terhadap isteri dan anak-anak sekiranya mereka berjauhan.

Sementara itu, mengenai drama Resurrection, Omar melakonkan watak Agen J.Martin Bellamy, bekas polis yang bertugas dengan penguatkuasa imigresen dan kastam Amerika Syarikat.

Kata Omar, Bellamy sebuah karakter yang sangat serasi dengannya apatah lagi ia mengenai seorang ejen yang menyiasat misteri kemunculan seorang kanak-kanak bernama Jacob, yang sudah lama meninggal dunia tetapi dikatakan hidup semula selepas 30 tahun.

"Drama ini diadaptasi daripada novel The Return. Watak saya bukan sekadar menyiasat semata-mata tetapi merupakan seorang ejen yang cuba menyiasat mengenai sekumpulan penduduk di Arcadia yang sudah mati 30 tahun lalu tiba-tiba hidup semula.

”Yang pasti ia bukanlah drama konsep zombi," selorohnya.

Drama tersebut mengisahkan mengenai masyarakat di pekan Arcadia, Missouri berubah apabila penduduk yang sudah meninggal dunia 30 tahun lalu muncul semula.

Siri tersebut bakal ditayangkan bermula 12 Mei ini setiap Isnin, pukul 10 malam menerusi Astro, saluran Lifetime (709).



Omar Epps

Artikel Lain