suria

Jangan Kaitkan Sha'arin Dengan Black Rose

Sha'arin kini memberikan tumpuan sepenuhnya kepada syarikat produksinya, Blublack Productions.

PETALING JAYA: Bekas pemain drum kumpulan Black Rose iaitu Sha'arin menjelaskan dia tidak selesa apabila masih ada pihak yang mengaitkan namanya dengan kumpulan rock popular sekitar awal tahun 90-an itu.

Sha'arin atau nama sebenarnya Sha'arin Mohammed Razali Wong, 45, berkata, penglibatannya dalam kumpulan muzik itu sudah pun berakhir dan ia telah pun menjadi memori.

"Saya sebenarnya kurang selesa apabila orang masih panggil saya 'Sha'arin Black Rose' kerana ia tidak melambangkan sepenuhnya siapa diri saya sekarang.

"Tambahan pula tempoh saya bersama kumpulan itu hanya tiga tahun sahaja dan banyak lagi pencapaian lain dalam hidup yang saya lakukan berbanding ketika bersama kumpulan itu," katanya kepada mStar Online.

Sha'arin tidak berhasrat untuk kembali bersama Black Rose.

Dalam pada itu, Sha'arin berkata, dia tidak bercadang untuk kembali bersama kumpulan itu bagi menghasilkan album terbaharu kerana bimbang ia tidak akan mendapat sambutan daripada peminat.

Sha'arin yang juga suami kepada pelakon dan pengacara, Yasmin Hani, berkata, dia bukan memandang rendah terhadap kredibiliti kumpulan rock itu sebaliknya bersikap realistik terutamanya landskap industri muzik yang mengalami pelbagai perubahan selain mengambil kira cita rasa pendengar.


"Pada pandangan saya menghasilkan album baharu akan merosakkan semua memori peminat tentang Black Rose dan saya secara peribadi merasakan ia mungkin tidak akan mendapat sambutan peminat seperti mana zaman kegemilangan Black Rose dahulu.

"Kita juga harus sedar bahawa industri muzik telah mengalami pelbagai perubahan dan realitinya saya bimbang kemunculan semula Black Rose tidak akan memberi impak seperti dahulu," ujarnya.

Sha'arin bersama isterinya, Yasmin Hani.

Sementara itu, Sha'arin berkata, dia kini memberikan tumpuan sepenuhnya kepada syarikat produksinya iaitu Blublack Productions yang beroperasi sejak beberapa tahun lalu.

Jelas Sha'arin, pengalaman selama 13 tahun bekerja di sebuah stesen televisyen digunakan sepenuhnya bagi menerbitkan pelbagai program menarik terutamanya dalam bidang sukan.

"Produksi kami banyak menerbitkan program-program berbentuk sukan namun ia tidak terhenti setakat itu sahaja kerana kami merancang untuk memperbanyakkan lagi penerbitan rancangan majalah, travelog dan sebagainya," katanya.
Sha'arin, Black Rose, Yasmin Hani.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain