suria

Pelakon Philip Seymour Hoffman Dijumpai Mati

Mayat Hoffman diusung keluar oleh pihak forensik dan dibawa ke hospital untuk bedah siasat pada malam Ahad.
Mayat Hoffman diusung keluar oleh pihak forensik dan dibawa ke hospital untuk bedah siasat pada malam Ahad.

NEW YORK: Pemenang Anugerah Akademi, pelakon Philip Seymour Hoffman ditemui mati dipercayai akibat pengambilan heroin berlebihan di rumahnya di Greenwich Village, Brooklyn pada Ahad.

New York Post melaporkan, ketika mayat Hoffman dijumpai, jarum suntikan jenis hipodermik masih melekat pada pergelangan tangan pelakon itu.

Rakan baiknya, David Bar Katz membuat panggilan kecemasan pada pukul 11.30 pagi selepas dia dan seorang lagi temannya menjumpai Philip dalam keadaan separuh bogel di dalam bilik air apartmen itu.

David datang ke rumah Philip selepas dia tidak hadir ke satu perjumpaan untuk mengambil tiga anaknya bersama kekasihnya, Mimi O'Donnell.

Pada tempat kejadian, pihak polis menjumpai beberapa keping bekas plastik yang dilabel sebagai 'Ace of Spades' yang dipercayai jenis dadah yang tidak lagi di jual di Brooklyn sejak 2008.

Tiada sebarang nota ditemui dan kematian pelakon itu dipercayai secara tidak sengaja.

Hoffman, 46, membeli apartmen tersebut pada tahun 2008 dengan harga RM12 juta.

Memulakan karier lakonan pada tahun 1991, Hoffman pernah membintangi filem seperti Scent of a Woman (1992), Twister (1996), Boogie Nights (1997), The Big Lebowski (1998), Patch Adams (1998), Magnolia (1999), The Talented Mr. Ripley (1999), Almost Famous (2000), Red Dragon (2002), 25th Hour (2002), Punch-Drunk Love (2002) dan Cold Mountain (2003).

Pada tahun 2005, menerusi pencapaian cemerlangnya dalam filem Capote, dia telah dipilih sebagai pelakon lelaki terbaik pada Anugerah Akademi.

Selain itu, Hoffman pernah menerima tiga lagi pencalonan anugerah tersebut dalam filem Charlie Wilson's War (2007), Doubt (2008) dan The Master (2012).

Hoffman sempat menyiapkan filem lakonan terakhirnya iaitu The Hunger Games: Mockingjay – Part 1 yang kini sedang dalam proses penyuntingan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain