suria

'Erti Aidilfitri' Buah Tangan KRU Sempena Syawal

Kumpulan KRU dari kiri; Yusry, Norman dan Edry.
Kumpulan KRU dari kiri; Yusry, Norman dan Edry.
Kumpulan KRU dari kiri; Yusry, Norman dan Edry.

PETALING JAYA: Buat pertama kalinya sepanjang 20 tahun pembabitan dalam industri muzik tempatan, kumpulan adik beradik KRU bakal muncul dengan sebuah lagu bersempena dengan sambutan Hari Raya berjudul Erti Aidilfitri.

Abang sulungnya, Norman Abdul Halim, berkata, lagu berkenaan yang diterbitkan oleh Edry merupakan hadiah khas buat para peminat yang telah lama menantikan lagu Hari Raya daripada kumpulan itu.

"Sebenarnya, sudah lama kami idamkan untuk memiliki sekurang-kurangnya sebuah lagu raya. Tetapi kekangan masa membuatkan kami terpaksa menangguhkan hasrat itu.

"Peminat pun kerap bertanya bila kami mahu muncul dengan lagu raya. Alhamdulillah, akhirnya ia terlaksana jua," katanya.

Tambah Norman, lagu tersebut akan dimuatkan dalam album kompilasi berjudul Oh My Raya yang bakal berada di pasaran pada bulan depan. Ia memuatkan lagu-lagu daripada variasi artis, ciptaan kumpulan itu sendiri.

"Menariknya Yusry menghasilkan lagunya manakala saya pula adalah penulis liriknya. Tidak seperti sebelum ini yang kebanyakannya hanya Edry sahaja yang mencipta penuh sesebuah lagu.

"Erti Aidilfitri juga sesuai dengan umur kami yang dewasa di mana liriknya lebih matang. Mesej yang disampaikan berunsur keinsafan serta melupakan sengketa sesama manusia," katanya.

Dalam pada itu, Norman memberitahu, single terbaharu mereka itu akan dilancarkan selewat-lewatnya pada minggu hadapan di laman YouTube sebelum ia dimainkan di stesen radio tempatan.

Kata Norman, mereka akan turut melancarkan klip video lagu tersebut sebagai salah satu langkah promosi.

"Untuk lancarkan lagu itu secara serentak di stesen radio mungkin sukar pada masa sekarang jadi kami akan melancarkan secara rasmi di YouTube dalam masa terdekat ini," ujarnya.

Artikel Lain