suria

Akhbar The Star Rangkul Dua Anugerah Trofi Samad Idris

Editor Hiburan mStar Online Niezam Abdullah bersama penulis jemputan The Star, Grace Chen merangkul anugerah Trofi Samad Idris pada Malam Penghargaan Industri Filem 2013 anjuran FINAS pada malam Sabtu.
Editor Hiburan mStar Online Niezam Abdullah bersama penulis jemputan The Star, Grace Chen
 merangkul anugerah Trofi Samad Idris pada Malam Penghargaan Industri Filem 2013 anjuran FINAS pada malam Sabtu.
Editor Hiburan mStar Online Niezam Abdullah bersama penulis jemputan The Star, Grace Chen merangkul anugerah Trofi Samad Idris pada Malam Penghargaan Industri Filem 2013 anjuran FINAS pada malam Sabtu.

KUALA LUMPUR: Akhbar The Star merangkul dua anugerah Trofi Samad Idris pada Malam Penghargaan Industri Filem 2013 anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang diadakan di Hotel Intercontinental di sini malam Sabtu.

Penulis jemputan The Star iaitu Grace Chen mendapat tempat kedua bagi kategori akhbar berbahasa Inggeris menerusi artikelnya berjudul Malaysia Masala.

Editor Hiburan portal mStar Online iaitu Niezam Abdullah memenangi tempat ketiga anugerah tersebut menerusi artikelnya bertajuk Horror-Bly Successful.

Kedua-dua artikel itu disiarkan di akhbar The Star masing-masing pada 24 Oktober dan 5 Oktober 2011.

The Star satu-satunya akhbar yang menerima anugerah itu bagi kategori berkenaan. Bagaimanapun tiada pemenang bagi tempat pertama. Sementara itu, bagi kategori akhbar berbahasa Melayu kesemua anugerah dibolot oleh Berita Harian dengan tempat pertama menjadi milik penulis jemputannya iaitu pengarah filem Mamat Khalid.

Mamat menulis artikel berjudul Promosi, Pembohongan dan Matlamat Dunia Perfileman manakala tempat kedua dimenangi oleh Zainuri Misfar (Kenapa Takut Sangat Filem, Cerita Seram?) dan tempat ketiga dimenangi Akmal Abdullah (Filem Banyak, Pawagam Terhad).

Artikel berkenaan disiarkan pada 2011.

Kesemua penerima Trofi Samad Idris masing-masing menerima hadiah berupa wang tunai RM3,000, bagi tempat pertama, RM2,000 (tempat kedua) dan RM1,000 (tempat ketiga).

Mereka juga mendapat trofi dan sijil penghargaan.

Hadiah-hadiah kepada pemenang bagi kategori berkenaan disampaikan oleh Ketua Pengarah Finas, Raja Rozaimie Dalnish Shah.

Hadir sama, Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi Dan Multimedia, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf.

Dalam perkembangan sama, Kamaruddin berkata, hadiah galakan tersebut adalah usaha untuk mengiktiraf media cetak dan wartawan atas penulisan yang cemerlang dalam menyemarakkan pembangunan industri perfileman tanah air.

"Kementerian sentiasa menyokong aktiviti ini sebagai salah satu platform untuk mengiktiraf sumbangan penggiat industri filem dan media yang berperanan dalam menjana pembangunan serta kecemerlangan industri filem tempatan," katanya.

Pada majlis yang sama, turut disampaikan Anugerah Pencapaian Karyawan Filem Tempatan di Peringkat Antarabangsa kepada 12 pemenang yang berjaya mengharumkan nama Malaysia di luar negara.

Antara pemenang adalah Tripod Entertainment Sdn Bhd yang menggondol anugerah di Festival Filem 3D Los Angeles 2012 dan Anugerah Asia Image Apollo 2013 menerusi filem War of The World : Goliath.

Syarikat produksi Rhythm & Hues Studios pula memenangi Kesan Visual Terbaik pada Anugerah Akademi, Los Angeles 2013 melalui Life of Pi

Pelakon Shahiezy Sam pula berjaya mengharumkan nama negara menerusi filem Songlap selepas dipilih sebagai Aktor Terbaik, Festival Filem Asean 2013 manakala Crystal Lee mendapat anugerah Aktres Terbaik, Festival Filem Shanghai melalui filem Unbeatable

Turut disampaikan tuntutan insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) kepada 10 syarikat produksi yang terpilih.

Majlis yang dihadiri hampir 500 tetamu yang terdiri daripada pelakon dan penggiat dunia perfileman tanah air itu turut diserikan dengan persembahan nyanyian dari Dina Nazir dan kumpulan Forteen.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain