suria

Hazama Tidak Niat Kecilkan Bakat Artis Senior

Hazama menunjukkan album terbaharunya, Penglipur Lara.
Hazama menunjukkan album terbaharunya, Penglipur Lara.
Hazama menunjukkan album terbaharunya, Penglipur Lara.

PETALING JAYA: Penyanyi Hazama Ahmad Azmi menganggap langkahnya meniru suara dan gaya beberapa penyanyi terkenal dalam persembahannya bukan berniat untuk merendah-rendahkan bakat golongan tersebut.

Hazama, 29, berkata, tujuan sebenar dia berbuat demikian adalah sebagai satu cara untuk menghargai penyanyi itu yang dianggap sebagai idolanya selama ini.

"Saya membesar dengan lagu-lagu idola saya seperti Amy (Search), Zamani (Slam), Ramli Sarip dan Nash. Dan saya boleh meniru gaya dan suara mereka.

"Namun saya tidak pernah berniat untuk perlekehkan mereka kerana apa yang saya lakukan ketika menyanyi sebagai satu penghormatan saya kepada mereka," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran album terbaharunya Penglipur Lara, di Wisma Bentley Music, Mutiara Damansara, di sini, malam Khamis.

Selain pelancaran album, Hazama turut membuat persembahan mininya untuk tontonan pihak media.

Dalam persembahan itu dia menyampaikan lapan buah lagu daripada album pertamanya berjudul Penglipur Lara. serta turut meniru gaya dan suara penyanyi Amy (Search) ketika menyanyikan lagu berjudul Simetri.

Sebelum ini juga dalam sebuah rancangan hiburan, Hazama pernah meniru aksi penyanyi Ramli Sarip.

Katanya, sejak kecil dia sudah mengkaji cara persembahan dan nyanyian penyanyi-penyanyi tersebut.

"Sebab terlalu minat pada mereka juga saya sentiasa mengkaji bagaimana aksi dan cara mereka ketika menyanyi di pentas. Ia adalah satu kepuasan bagi saya," katanya.

Bagaimanapun kata Hazama, dia tidak pernah meniru mana-mana karakter atau cara orang lain ketika menyampaikan lagu-lagunya sendiri.

"Saya menjadikan mereka sebagai inspirasi untuk persembahan saya. Bukan seorang sahaja tetapi saya mengambil cara kesemua mereka," katanya.

Bercakap mengenai album, Hazama berkata, ia merupakan hasil penantiannya selama tujuh tahun sejak bergelar anak seni.

"Tujuh tahun lalu saya hanya mampu berangan untuk ada album sendiri dan akhirnya impian saya menjadi kenyataan.

"Saya berterima kasih kepada pihak yang terlibat, keluarga dan peminat yang memberi sokongan moral selama ini," katanya.

Album berkonsepkan pop rock ini mempertaruhkan sembilan buah lagu yang menampilkan ramai komposer dan penulis lirik terkenal seperti Audi Mok, Omar K, Manusia Putih, Mike Chan, Zel Hadauan, dan Cat Farish.

Artikel Sebelum

Artikel Lain