suria

'CEO' Terbitan Syarikat Abdul Razak Baginda Tiada Kaitan Politik

Razaisham Rashid (tengah) bersama pelakon CEO iaitu Remy Ishak (kanan) dan Beto Kusyairy.
Razaisham Rashid (tengah) bersama pelakon CEO iaitu Remy Ishak (kanan) dan Beto Kusyairy.
Razaisham Rashid (tengah) bersama pelakon CEO iaitu Remy Ishak (kanan) dan Beto Kusyairy.

KUALA LUMPUR: Penghasilan filem CEO di bawah syarikat penganalisis politik Abdul Razak Baginda iaitu ARAfilm Sdn Bhd tidak akan membawa sebarang mesej berunsurkan politik.

Pengarah filem tersebut, Razaisham Rashid berkata, walaupun Razak merupakan penganalisis politik, plot cerita kisah CEO mengisahkan tentang kehidupan realiti masyarakat pada zaman kini.

"Tidak semestinya orang yang membabitkan diri dengan politik akan membuat filem tentang politik. Macam Razak, syarikatnya hanya melaburkan wang bagi menghasilkan sebuah filem semata-mata.

"Malah idea asal filem ini adalah daripada Razak sendiri. Saya harap tiada pihak yang memandang serong atas pembabitannya dalam industri perfileman tempatan ini," katanya.

Razaisham ditemui pada majlis pelancaran filem CEO di restoran Bora Ombak di sini pada Selasa bersama-sama dengan barisan pelakonnya iaitu Deanna Yusoff, Remy Ishak dan Beto Kusyairy.

Abdul Razak sebelum ini pernah dikaitkan mengenai kes kematian pembunuhan ngeri wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) mengisahkan tentang dua lelaki yang berlainan darjat iaitu Adam (Remy) sebagai CEO dalam sebuah syarikat besar yang berjaya dan Sufian (Beto) seorang penghantar piza yang tiada cita-cita.

Bagaimanapun, kerana satu insiden, kehidupan kedua-dua lelaki itu berubah di mana Adam telah kehilangan jawatannya manakala Sufian pula mengambil alih tempat Adam.

Keliru dengan perubahan diri masing-masing, Adam dan Sufian mula menyiasat punca-punca keadaan mereka berubah.

Tambah Razaisham, dia bersyukur kerana memiliki barisan pelakon yang bagus menerajui filem arahannya yang pertama itu.

"Mula-mula risau juga memikirkan bagaimana nak mengarah pelakon-pelakon yang sedia hebat ini. Adakah mereka akan lakukan seperti yang saya inginkan walaupun pertama kali mengarah filem?

"Mujurlah, pada latihan sebelum penggambaran, kami saling memberi kerjasama antara satu sama lain.

"Kami akan menjalani penggambaran selama 25 hari bermula 15 Jun ini. Harap-harap hasil filem ini dapat menarik perhatian ramai Insya-Allah," katanya.

Selain itu, filem CEO turut membabitkan pelakon Christina Suzanne dan Datuk Jalaluddin Hassan.

Artikel Lain