suria

'Bella Awards' Dapat Sambutan Kaum Wanita

BA2013 turut mengangkat sumbangan lelaki kepada wanita dan masyarakat menerusi Bella Mars. Foto FAIHAN GHANI
BA2013 turut mengangkat sumbangan lelaki kepada wanita dan masyarakat menerusi Bella Mars. Foto FAIHAN GHANI
BA2013 turut mengangkat sumbangan lelaki kepada wanita dan masyarakat menerusi Bella Mars. Foto FAIHAN GHANI

KUALA LUMPUR: Acara anugerah khas buat kaum wanita yang julung kali diadakan iaitu Bella Awards (BA) mula menarik perhatian golongan wanita bandar (urban).

Pengurus Besar Kumpulan ntv7 & 8TV, Airin Zainul berkata, kesedaran terhadap acara itu dapat dilihat berdasarkan respons penonton di laman web dan ketika program Bella bersiaran di ntv7.

"Walaupun ia masih baharu kesedaran mengenai anugerah ini mencapai penonton sasaran kami iaitu wanita (urban).

"Malah, ramai yang menyuarakan keterujaan mereka untuk berpakaian cantik pada malam anugerah nanti," katanya.

Airin ditemui pada majlis pengumuman senarai Top 5 bagi lima kategori iaitu Bella Creative, Bella Style, Bella Beautiful, Bella Business dan Bella Heart di Hotel Sheraton Imperial di sini, petang Jumaat.

Selain lima kategori yang ditentukan juri profesional, BA2013 turut mengangkat sumbangan lelaki kepada wanita dan masyarakat menerusi Bella Mars.

Pemenang trofi utama Bella Award pula dipilih daripada pemenang lima kategori berkenaan.

Turut diumumkan pada majlis tersebut adalah penambahan empat kategori baharu iaitu Bella On-Screen, Bella On-Stage, Bella Sports dan Bella Radio.

Airin berkata, empat kategori itu memberikan kuasa kepada orang ramai untuk mengundi calon pilihan masing-masing secara dalam talian.

"Pengenalan empat kategori baharu ini menjadikan jumlah keseluruhan 11 kategori untuk disampaikan pada malam anugerah.

"Ia memberikan peluang kepada khalayak terutamanya penonton program Bella mengundi dan memartabatkan calon terbaik bagi mengungguli setiap kategori terbabit," katanya.

Tambahnya, undian bagi empat kategori dalam talian itu dibuka bermula pada 1 Februari depan.

Anugerah ini bakal diadakan pada 2 Mac depan di Hotel Royale Chulan di sini dan akan disiarkan secara langsung pada pukul 9 malam menerusi saluran tersebut.

Ia mendapat sokongan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Rancangan Bella disiarkan pada setiap Isnin hingga Khamis pukul 11 pagi dan Ahad pukul 1.30 petang, selama sejam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain