suria

Lima Artis Rock 90-an Bergabung Bikin Konsert

Dari kiri Rahmat, Saleem, Aris Ariwatan dan Ali (belakang) menjanjikan persembahan luar biasa dalam 'Konsert 5 Legenda'. Zamani, tiada dalam gambar.
Dari kiri Rahmat, Saleem, Aris Ariwatan dan Ali (belakang) menjanjikan persembahan luar biasa dalam 'Konsert 5 Legenda'. Zamani, tiada dalam gambar.
Dari kiri Rahmat, Saleem, Aris Ariwatan dan Ali (belakang) menjanjikan persembahan luar biasa dalam 'Konsert 5 Legenda'. Zamani, tiada dalam gambar.

KUALA LUMPUR: Penganjuran Konsert Gegar 5 Legenda yang bakal berlangsung di Istana Budaya (IB) pada 22 hingga 24 Februari depan bagi menggantikan teater Ombak Rindu yang ditangguhkan pementasannya tidak dibuat secara 'tangkap muat'.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, konsert itu sebenarnya sudah dirancang sejak tahun 2011 dan secara kebetulan penangguhan teater itu dapat membuka ruang kepada acara berkenaan.

"Penangguhan pementasan teater Ombak Rindu adalah kerana faktor jadual artis yang tidak selaras dengan pementasan itu menyebabkan kami terpaksa memenuhkan kalender IB dengan acara lain.

"Tambahan pula lima artis rock yang akan membuat persembahan tersebut masih mempunyai peminat manakala lagu-lagu mereka masih popular," ujarnya semasa ditemui pada sidang media konsert berkenaan di sini pada Khamis.

Konsert Gegar 5 Legenda bakal menyaksikan gabungan lima artis rock di era 90an, iaitu Saleem (Iklim), Aris Ariwatan, Rahmat (Mega), Zamani (Slam) dan Ali (Terra Rossa).

Ia diterbitkan sendiri oleh IB dengan kerjasama kelima-lima artis terlibat.

Dalam pada itu, Pengarah Persembahan, Lokman Ghani berkata, konsep konsert itu nanti akan mengangkat kenangan dan kegemilangan era rock balada yang pernah mengangkat nama mereka di kalangan peminat.

Ia bakal diiringi oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) dan akan dibahagi dalam dua segmen.

"Apa yang pasti hanya seleksi lagu terbaik akan dipilih untuk dipersembahkan kepada penonton dan pada masa ini kami masih lagi memilih lagu apakah yang akan dibawa mereka pada malam itu nanti.

"Susunan muzik juga akan diubah bagi disesuaikan dengan orkestra yang akan mengiringi mereka pada malam itu nanti," jelasnya.

Sementara itu, Rahmat yakin persembahan itu nanti akan meninggalkan kenangan indah buat penonton yang hadir pada tiga malam persembahan.

Tiket-tiket dijual pada harga RM50, RM70, RM100, RM150, RM200 dan RM250.

Tempahan tiket boleh dibuat dengan menghubungi 03-4026 5508 atau 03-4026 5558 atau layari www.ticket2u.biz.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain