suria

FFM 25: Finas Digesa Perjelas Punca Gafim Diketepikan

Sidang media Batnahan FFM 25 yang diadakan oleh Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia(Gafim) pada Khamis turut dihadiri oleh Zed Zaidi, Yusof Kelana dan Datuk M. Daud.
Sidang media Batnahan FFM 25 yang diadakan oleh Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia(Gafim) pada Khamis turut dihadiri oleh Zed Zaidi, Yusof Kelana dan Datuk M. Daud.
Sidang media Batnahan FFM 25 yang diadakan oleh Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia(Gafim) pada Khamis turut dihadiri oleh Zed Zaidi, Yusof Kelana dan Datuk M. Daud.

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) menggesa Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Mohd Naguib Razak untuk memperjelaskan punca persatuan gabungan itu diketepikan daripada menganjurkan Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM) yang bakal diadakan pada 30 Disember depan.

Setiausaha Agung Gafim, Yusof Kelana berkata, pihaknya tertanya-tanya dan terkilan dengan tindakan Finas mengenepikan hak mereka untuk bersama-sama menganjurkan festival itu yang selama ini diberi mandat menganjurkan acara berprestij itu sejak tahun 1986.

"Pihak Finas menerusi ketua pengarahnya memberitahu kami mengundurkan diri sebagai penganjur dalam sidang media yang mereka lakukan pada Isnin lalu dan kami tidak pernah berbuat demikian.

"Sebab itu kami mahu Naguib jelaskan mengapa Gafim disisihkan daripada penganjuran FFM 25 sedangkan penubuhan persatuan gabungan ini adalah untuk menganjurkan acara itu sejak sekian lama," ujarnya pada sidang media Bantahan FFM 25 di sini pada Khamis.

Menjelaskan kedudukan sebenar, Yusof berkata, pada 12 Mac lalu pihaknya ada menghantar laporan mengenai penganjuran FFM 24 pada tahun lalu selepas diminta berbuat demikian oleh Finas.

Kata Yusof, menerusi laporan itu, pihaknya telah melaporkan masalah dan perkara yang harus diperbetulkan untuk penganjuran akan datang dan sehingga kini menunggu maklum balas daripada pihak Finas.

"Dalam rumusan laporan berkenaan, Gafim ada menyebut jika masalah yang berbangkit tidak dapat diselesaikan pihak kami tidak mahu terlibat dalam penganjuran festival itu pada masa hadapan.

"Namun itu bukan bererti kita telah buat keputusan untuk menarik diri daripada FFM sebaliknya itu hanyalah rumusan dan kami inginkan maklum balas daripada Finas dan sehingga kini gagal," ujarnya.

Tambah Yusof, pihak Gafim tidak pernah menghantar surat rasmi untuk menarik diri daripada penganjuran FFM sehingga ke saat ini kepada Finas.

Dalam pada itu, Yusof berkata, pihaknya bukan ingin menyalahkan Finas seratus peratus dalam kemelut ini dan meja perbincangan masih terbuka untuk menyelesaikan salah faham yang berlaku.

"Tahun ini adalah jubli perak sambutan FFM yang ke-25 dan sebagai gabungan persatuan yang telah bersama-sama menjayakan festival itu sejak awal kemunculannya sudah pasti kami rasa terkilan apabila dilakukan begitu.

"Kami mohon Naguib menjawab persoalan kami dengan jawapan positif supaya masalah ini dapat diselesaikan tanpa banyak pertikaian," katanya.

FFM 25 yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) bakal diadakan pada 30 Disember depan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Pada tahun ini, kira-kira 75 filem cereka yang ditayangkan bagi tempoh 27 Oktober 2011 hingga 30 Oktober ini layak dipertandingkan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain