suria

Hazama Tidak Mahu Jadi Pelakon Sepenuh Masa

Hazama Azmi
Hazama Azmi
Hazama Azmi

PETALING JAYA: Penyanyi Hazama Azmi (AF9) tidak berhasrat untuk bergelar pelakon sepenuh masa kerana pembabitannya dalam bidang itu sejak kebelakangan ini hanya untuk berehat daripada cabang nyanyian.

Hazama atau nama sebenarnya Hazama Ahmad Azmi, 28, berkata, kekerapannya berlakon hanya untuk mengisi masa dan ruang sementara menunggu proses rakaman album sulungnya, selain berpeluang menimba pengalaman baru.

“Nyanyian sentiasa menjadi keutamaan kerana kepuasannya berbeza. Mungkin orang nampak saya semakin aktif berlakon tetapi pada hakikatnya saya baru berlakon dalam dua filem iaitu Apa Celop Toqq dan terbaharu Lari di mana kedua-duanya adalah arahan Ahmad Idham.

“Percubaan dalam lakonan boleh diibaratkan tempoh bercuti daripada nyanyian. Ia hanya untuk menimba pengalaman baru dan mengisi masa. Terus-terang, saya tidak terfikir untuk jadi pelakon sepenuh masa selepas ini,” katanya.

Hazama berkata, peluang yang diberikan Ahmad Idham menerusi filem Apa Celop Toqq (sebelum ini dikenali Cinta Atas Tar) pada tahun lalu tidak disia-siakan bagi memperoleh pendedahan baru.

“Idham mahu beri peluang, apa salahnya saya mencuba. Ia membantu saya sebenarnya untuk lebih menjiwai sesebuah lirik dan lagu itu.

“Lakonan membuka pintu buat saya agar lebih dikenali oleh khalayak lebih besar selepas ini. Bukan apa, manalah tahu jika orang tak nak tengok saya menyanyi lagi, saya sudah ada profil lakonan juga,” katanya.

Kata penyanyi lagu Majnun ini, pengalaman berlakon di depan kamera dan pergaulan di lokasi penggambaran turut membantunya mengatasi masalah pemalu yang dialaminya.

“Berlakon membantu saya mengatasi masalah pemalu dan perasaan segan dalam diri selama ini. Sekarang, sifat itu beransur hilang dan ia berjaya melancarkan lagi proses berkomunikasi.

Terbaru, Hazama kini berada di lokasi penggambaran filem Lari yang turut menggandingkannya dengan Aaron Aziz, Dira Abu Zahar dan Erin Malek.

Filem aksi yang menelan kos produksi sebanyak RM2.5 juta ini menjalani penggambaran di Perlis, Kuala Lumpur dan Ipoh, Perak selama 35 hari. Ia dijangka ditayangkan pada 2013.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain