suria

Zoey Tertekan Berlakon Watak Kanak-Kanak

Inilah wajah terbaharu Zoey yang mahu tampil sasa. Foto SHAHRUL FAZRY ISMAIL
Inilah wajah terbaharu Zoey yang mahu tampil sasa. Foto SHAHRUL FAZRY ISMAIL
Inilah wajah terbaharu Zoey yang mahu tampil sasa. Foto SHAHRUL FAZRY ISMAIL

KUALA LUMPUR: Pengacara dan pelakon Zoey berasa bosan apabila sering diberi tawaran sebagai pengacara program kanak-kanak atau berlakon sebagai watak budak sekolah.

Zoey atau nama sebenarnya Mohd Hairey Azhar Abd Rahman, 27, berkata, keadaan itu membuatkan dia tertekan kerana sudah dianggap hanya mampu menggalas watak kanak-kanak menyebabkan tiada watak lain yang ditawarkan kepadanya.

"Saya akui kadang-kadang agak bosan juga apabila terlalu kerap mengacara program kanak-kanak dan ia terbawa-bawa sehingga ke bidang lakonan di mana saya kerap menggalas watak budak sekolah tak kira dalam drama mahupun filem.

"Keadaan ini membuatkan saya tertekan kerana watak yang diberi tidak meluas, seolah-olah bakat saya hanya terhad untuk satu jenis watak sahaja.

"Tetapi jangan salah anggap pula kononnya saya membenci kanak-kanak. Tidak... cuma saya mahu berkembang dalam kerjaya ini," katanya.

Tambah pengacara program Rekativiti menerusi saluran Astro TVIQ ini, keadaan itu membuatkan dia lebih selektif dengan tawaran yang diterima dan lebih memberi fokus sebagai pengacara buat sementara waktu.

Dalam pada itu, dia juga mengubah imejnya daripada segi penampilan rambut dan pemakaian agar kelihatan lebih matang supaya terkeluar daripada imej budak-budak.

"Sekarang ini, saya akan cuba mengubah penampilan diri sebaik mungkin agar tidak kelihatan macam budak sekolah.

"Malah saya turut ke gim untuk membentuk tubuh badan yang lebih sasa. Harap-harap, dengan perubahan diri yang lebih matang, pihak syarikat penerbitan drama dan filem dapat memberi ruang kepada saya dengan memberi watak yang lebih berat.

"Begitu juga dengan pihak stesen televisyen, diharap mereka dapat melihat diri saya daripada perspektif yang berbeza agar dapat memberikan tanggungjawab mengacara program yang tiada kaitan dengan kanak-kanak," ujarnya.

Sementara itu, Zoey kini menyertai program Fear Factor Selebriti Malaysia (untuk saluran Astro Ria) dan bakal menjalani penggambaran di Cape Town, Afrika Selatan bermula 23 Oktober sehingga 15 November depan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain