suria

Enam Kumpulan Berentap Di Festival Teater Malaysia 2012

PETALING JAYA: Sebanyak enam buah kumpulan amatur Malaysia dipilih untuk ke peringkat kebangsaan, Festival Teater Malaysia 2012 (FTM) yang akan berlangsung di Auditorium DBKL, Jalan Raja Laut, dekat sini bermula Sabtu ini.

Kumpulan-kumpulan itu adalah Kelab Estetika Budaya, UiTM Pahang, Badan Kesenian dan Warisan P.Ramlee (BAKAWALEE), Persatuan Penggerak Warisan Seni Budaya Negeri Kedah (AKRAB), Grup Teater Lab, Universiti Malaysia Sabah, Majlis Teater Selangor dan Pusat Kokurikulum Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (UTHO).

Ketua Pengarah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Datuk Norliza Rofli berkata, enam kumpulan tersebut dipilih selepas bersaing pada peringkat negeri bersama lapan buah kumpulan teater lagi yang dianjurkan sebelum ini.

"Bukan mudah untuk membuat pemilihan kerana di peringkat negeri saja hampir kesemua kumpulan adalah berbakat dan hebat dengan lakonan yang tersendiri.

"Dalam FTM, pelakon pentas yang berhimpun kali ini haruslah bersedia untuk membina jiwa bangsa Malaysia melalui karya, perkongsian minda, titian perpaduan yang padu bagi merealisasikan agenda negara," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di sini, Khamis.

Kelab Estetika Budaya akan mementaskan teater bertajuk Kebayan karya Zack Zaideen pada Ahad ini diikuti dengan BAKAWALEE menerusi Perhiasan Kaca karya Tennese William sehari selepas itu.

Kemudian, pada 2 Oktober pula, AKRAB akan mementaskan Pelantaq karya dan arahan Saipol Bahari Mohd. Iman manakala Grup Teater Lab bakal mementaskan Mencari Ricka (3 Oktober).

Majlis Teater Selangor akan mementaskan Buai karya Norhisham Mustafa arahan Khusairy Mahayuddin (4 Oktober) manakala UTHO akan tampil dengan Janin arahan Rosdi Abdullah (5 Oktober).

Rebab Berbisik

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin menikmati pementasan teater asli tanpa unsur muzikal pada Sabtu ini dijemput untuk mengikuti monodrama Rebab Berbisik lakonan Rosnan Rahman.

Rosnan yang merupakan pelakon dan aktivis teater bakal membawa empat watak dalam persembahan tersebut yang akan berlangsung selama 1jam 20 minit.

Rebab Berbisik mengisahkan kepiluan seorang tokoh makyung iaitu Paksu Mat yang dilupakan tentang sumbangan dan pengorbanannya terhadap seni warisan iaitu makyung.

Tiada pewaris yang sanggup menerima dan menjadi penerus kepada kesenian ini termasuklah anak-anaknya sendiri iaitu Mimi dan Azri.

Kedua-dua mereka mempunyai latar peribadi yang berbeza dan membawa haluan masing-masing.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang FTM 2012 melalui laman sesawang rasmi, www.jkkn.gov.my dan rangkaian media sosial Facebook, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Kesemua persembahan akan berlangsung pada pukul 8.30 malam.

Untuk maklumat lanjut mengenai acara ini, sila hubungi Cawangan Komunikasi Korporat JKKN di talian 03- 20523703 (Khairul Anuar) atau 03-20523616 (Noorariza).

Artikel Sebelum

Artikel Lain