suria

Tiada Masalah Talha Harith Dikenali Kerana Watak Jahat

Talha Harith
Talha Harith
Talha Harith

PETALING JAYA: Pelakon baru Talha Harith tidak menganggap satu masalah jika orang ramai terus mengaitkannya dengan watak-watak antagonis walaupun dia pernah melakonkan watak baik selama dua tahun bergelar pelakon.

Talha, 22, berkata, respons tersebut membuktikan lakonannya menerusi watak-watak negatif selama ini berkesan dan meninggalkan impak kepada penonton.

“Saya tidak kisah kalau orang sering kaitkan saya dengan watak-watak jahat sahaja, padahal saya ada juga memainkan peranan yang baik dalam drama-drama televisyen.

“Mungkin itu membuktikan lakonan saya pada watak negatif itu berkesan dan disenangi penonton. Ia satu penghargaan untuk orang baru seperti saya,” katanya ketika ditemui mStar Online pada pelancaran drama bersiri Darjat di TV3, baru-baru ini.

Talha berkata, sebagai orang baru dia tidak boleh bersikap selektif dalam menerima sesuatu tawaran lakonan walaupun terpaksa memainkan watak yang lebih kurang sama pada kebanyakan masa.

“Saya masih baru jadi tidak boleh terlalu memilih dalam menerima sesuatu tawaran. Kalau pada kebanyakan waktu, saya mendapat watak negatif, saya akan berusaha untuk mencorakkan watak itu dengan pelbagai rasa dan lapisan.

“Apa yang penting, saya mahu orang melihat penterjemahan watak saya berbeza dan ‘lari’ daripada imej sebenar saya ketika di luar. Itu yang saya pastikan setiap kali berlakon,” katanya.

Mengenai drama Darjat yang diarahkan Jet Lee, Talha berkata, dia sekali lagi menerima watak sebagai lelaki jahat dan tidak berguna bernama Ghaz.

“Sekali lagi, saya dapat watak lelaki jahat yang bernama Ghaz. Dia seorang lelaki yang tidak berguna, kaki hutang dan tidak berduit.

“Kejahatan Ghaz dalam drama ini sehingga sanggup merancang tindakan jahat untuk memporak-perandakan keluarga Karina lakonan Ika Nabila,” katanya.

Drama sebanyak 20 episod itu akan mula disiarkan menerusi slot Azalea pada setiap Isnin hingga Khamis, pukul 4 petang di TV3.

Terbaru, Talha sedang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Tanah Kubur musim kelima arahan Rashid Sibir.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain