suria

Afdlin Sangkal 'Untuk Tiga Hari' Menggalakkan Perceraian

Afdlin Shauki
Afdlin Shauki
Afdlin Shauki

PETALING JAYA: Pengarah filem Untuk Tiga Hari, Afdlin Shauki menolak tuduhan kononnya filem itu mengangkat unsur negatif dalam sebuah rumah tangga sedangkan ia menunjukkan mesej baik bagi menghalang daripada berlakunya perceraian.

Afdlin berkata, filem yang sudah pun memulakan tayangannya pada Khamis lalu itu lebih tertumpu kepada cara menangani masalah suami isteri dan sedikit pun tidak merosakkan pemikiran masyarakat ke arah keburukan.

"Saya terkejut apabila Untuk Tiga Hari dipertikaikan gara-gara lafaz cerai yang dibuat Rashidi kononnya boleh menyebabkan jatuhnya talak ke atas isteri sebenarnya, Vanidah.

"Mana mungkin ia boleh berlaku kerana dalam filem ini, lakonan lafaz cerai itu diungkap kepada gandingannya iaitu Ayu Raudhah.

"Tambah pula filem ini disuntik dengan pelbagai mesej positif alam rumah tangga di mana ia sekali gus mengajar untuk mengelakkan penceraian yang semakin menular di negara kita," katanya kepada mStar Online di sini pada Isnin.

Afdlin diminta mengulas nasihat Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria seperti mana yang dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada Isnin yang menggesa dia dan Rashidi memaklumkan kepada Jabatan Agama Islam berikutan lafaz cerai yang diungkapkan dalam filem tersebut.

Beritahu pengarah itu lagi, berdasarkan komen yang diberikan oleh Harussani, berkemungkinan besar mufti itu belum menyaksikan filem berkenaan dan hanya memberi komen berdasarkan soalan yang diajukan kepadanya.

"Saya juga menganggap, mungkin Harussani hanya menyaksikan beberapa minit babak yang dipaparkan pada laman-laman sosial kerana percaya, jika beliau benar-benar menyaksikan keseluruhan filem itu, beliau tidak akan memberikan komen sebegitu.

"Walaupun menghasilkan filem cinta, hal-hal berkaitan agama tidak pernah diabaikan malah saya telah meminta pendapat orang yang lebih arif tentang perkara ini sebelum penggambaran," ujarnya.

Dalam pada itu, Afdlin tidak menganggap dakwaan itu sebagai satu sabotaj terhadap filemnya malah merasakan ia sedikit sebanyak dapat membantu mempromosikan filem berkenaan.

Untuk Tiga Hari mengisahkan hubungan cinta Zafrin (dilakonkan oleh Rashidi Ishak) dan Ujie (Vanidah Imran) yang berada dalam dilema apabila mereka terpaksa melupakan cinta masing-masing untuk berkahwin dengan calon pilihan keluarga.

Zafrin mengahwini Juwita (Ayu Raudhah) manakala Ujie berkahwin dengan Armi (Afdlin Shauki) seorang lelaki kaya yang romantik.

Untuk membuktikan cinta sejati mereka, Zafrin dan Ujie berjanji untuk meneruskan juga perkahwinan yang diaturkan keluarga itu tetapi mereka akan berusaha untuk bercerai dengan pasangan masing-masing setelah tiga hari berkahwin.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain