suria

'Anugerah Blockbuster 2011' Diyakini Lebih Telus

Antara selebriti yang akan memeriahkan Anugerah Blockbuster 2011. Foto Rohaizat Md Darus
Antara selebriti yang akan memeriahkan Anugerah Blockbuster 2011. Foto Rohaizat Md Darus
Antara selebriti yang akan memeriahkan Anugerah Blockbuster 2011. Foto Rohaizat Md Darus

KUALA LUMPUR: Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) yakin keputusan pemenang Anugerah Blockbuster 2011 yang bakal berlangsung pada 6 Oktober depan tidak akan menimbulkan sebarang isu kerana proses penghakiman yang dibuat adalah berdasarkan pilihan penonton sendiri.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Pansha Nalliah berkata, dalam masa yang sama orang ramai dapat menilai berbezaan anugerah yang dipilih peminat dan juga pilihan juri

"Anugerah ini lebih disifatkan sebagai sebuah festival yang tidak akan menimbulkan sebarang pertikaian atau perbalahan daripada pihak-pihak yang tidak berpuas hati kerana pemilihan pemenang akan dipertanggungjawabkan kepada penonton sepenuhnya.

"Malah ia juga antara cara untuk pihak kami melihat adakah pemikiran penonton sama dengan juri profesional yang dilantik dalam sesebuah acara lain," katanya pada sidang akhbar Anugerah Blockbuster 2011 di Hotel Corus, dekat sini, Selasa.

Anugerah Blockbuster 2011 yang baru pertama kali diperkenalkan ini akan menjadi acara tahunan yang bertujuan memartabatkan filem-filem serta penggiat seni tempatan.

Sebanyak 16 kategori yang melibatkan hampir 40 pencalonan (bagi setiap kategori) diperkenalkan menggunakan 100 peratus undian daripada orang ramai.

Dalam pada itu, anugerah ini akan disiarkan secara langsung dari Stadium Malawati Shah Alam, dekat sini menerusi saluran Astro Ria pada pukul 9 malam.

Bertemakan 'Letusan Blok Warna', acara untuk karpet merah akan bersiaran pada pukul 8.30 malam bersama hos Scha Al-Yahya, Thanuja, Hanif Era FM dan Hafizul (On Air).

Manakala Zizan Razak, Lisa Surihani dan Afdlin Shauki diberi tanggungjawab mengendalikan anugerah tersebut keseluruhan.

Bagi yang ingin mengundi, proses pengundian akan dilakukan di laman web rasmi Anugerah Blockbuster iaitu di www.anugerahblockbuster.com.my.

Sepuluh calon yang mendapat undian terbanyak bagi setiap kategori layak ke pusingan seterusnya di mana undian akan dilakukan melalui dalam talian dan juga sistem pesanan ringkas (SMS).

Keputusan akan dikira berdasarkan 50 peratus daripada undian SMS dan 50 peratus lagi dari undian secara dalam talian.

Filem yang layak bertanding adalah yang ditayangkan di pawagam dalam tempoh bermula daripada 1 Januari 2011 sehinggalah 31 Disember 2011.

Antara filem-filem tersebut termasuklah Khurafat, Hikayat Merong Mahawangsa, Kongsi, Hantu Bonceng, Nur Kasih The Movie, KL Gangster, Ombak Rindu dan Songlap

Berikut adalah 16 kategori yang dipertandingkan

1. Anugerah Filem Terhebat

2. Anugerah Tuan Direktor Terhebat

3. Anugerah Direktor Baru Terhebat

4. Anugerah Filem Aksi Terhebat

5. Anugerah Filem Kelakar Terhebat

6. Anugerah Filem Takut Terhebat

7. Anugerah Drama Muzikal Terhebat

8. Anugerah Hero Terhebat

9. Anugerah Heroin Terhebat

10.Anugerah Watak Penyangak Terhebat

11.Anugerah Lagu Filem Terhebat

12.Anugerah Hero Baru terhebat

13.Anugerah Heroin Baru terhebat

14. Anugerah PFM

15. Anugerah Astro First Terhebat

16. Anugerah Penaja

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain