suria

Yusof Haslam Tertekan Selepas Guna Telefon Bimbit

Yusof Haslam
Yusof Haslam
Yusof Haslam

KUALA LUMPUR: Selepas mengambil pendekatan menggunakan telefon bimbit sejak Oktober tahun lalu, penerbit dan pengarah tersohor Datuk Yusof Haslam mengakui tertekan dengan pelbagai panggilan remeh yang diterima.

Yusof berkata, tekanan itu berlaku apabila dia sering mendapat aduan mengenai masalah-masalah berkaitan hal produksi yang boleh mengganggu konsentrasinya ketika dia sibuk bekerja.

"Sepanjang hampir setahun memiliki telefon bimbit, macam-macam panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang saya diterima.

"Bayangkan, ketika sibuk, masa itulah budak-budak produksi SMS saya mengadu tentang artis datang lewat atau tidak berdisiplin serta perkara-perkara remeh lain.

"Macam dahulu, masalah-masalah kecil sebegini saya tidak akan ambil peduli kerana banyak lagi perkara lain yang perlu diberi tumpuan. Lagipun mereka susah nak hubungi saya kerana saya tak pakai telefon bimbit," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun tambah Yusof, memiliki telefon bimbit juga telah memudahkannya untuk menghubungi keluarga termasuklah anak-anak.

Malah, pada masa sama, ia dapat merapatkan hubungannya dengan pihak media yang ingin mendapatkan kenyataan atas kedudukan beliau sebagai Pengarah Urusan, Skop Production Sdn Bhd.

"Bagus juga apabila isteri saya (Datin Fatimah Ismail) memberikan cadangan supaya saya menggunakan telefon bimbit selepas 10 tahun tidak menggunakannya.

"Sekurang-kurangnya kami saling berhubung ketika saya berada di luar rumah.

"Bayangkan, daripada berasa kekok menggunakan telefon bimbit, sekarang saya mula selesa menggunakannya. Kalau tertinggal di rumah, saya sanggup patah balik untuk ambil," ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain