suria

Awanband Tidak Popular Selepas Empat Tahun Jadi Artis

Awanband. Foto-Facebook Awanband
Awanband. Foto-Facebook Awanband
Awanband. Foto-Facebook Awanband

PETALING JAYA: Walaupun sudah empat tahun berkecimpung dalam dunia arus perdana industri muzik tempatan, kumpulan Awanband terpaksa akur masih lagi kurang mendapat perhatian umum.

Vokalisnya Faris berkata, keadaan itu tidak pernah membuatkan kumpulannya lemah semangat, namun berazam untuk terus memperjuangkan muzik mereka sehingga akhir hayat.

"Apa yang dapat kami lihat, nama Awanband hanya dikenali berdasarkan lagu yang diputarkan di radio sahaja, tetapi tidak ramai yang tahu siapa anggota kumpulan Awanband.

"Bagaimanapun ia tidak mematahkan semangat kami untuk terus berjuang dalam muzik dan tidak kisah sekiranya tidak popular seperti kumpulan yang sedia ada, yang penting darah muzik yang mengalir pada tubuh kami dapat dikongsi kepada penggemar-penggemar muzik tanah air," katanya.

Selain Faris atau nama sebenarnya Mohd Shahzee Zailan, Awanband dianggotai oleh Mohammad Shafry Mohamad (Ully), selaku pemain gitar utama, Mohd Badlyshah Amiruddin atau BoBoy (gitar kedua), Rizan Yaakop,(Ijan- dram) dan Mohd Hasnurr Mohd Hashim (Hasnurr) sebagai basis.

Walaupun gagal meraih populariti, mereka tidak pernah sepi tanpa muncul dengan lagu-lagu terbaru dan selepas single pertama, Kartita, kumpulan ini mempertaruhkan single lagu kedua pula yang berjudul Lintasan Bintang.

"Lintasan Bintang menceritakan kisah cinta yang tidak kesampaian. Apa-apa pun, kami harap lagu ini dapat diterima ramai.

"Tambah pula lagu ini seperti membangkitkan Awanband kembali kepada pendengar yang kini sudah pun diputarkan di semua stesen-stesen radio," tutur Ully.

Sementara itu, kumpulan tersebut juga merancang untuk meluaskan pengaruh mereka di bidang perniagaan dengan mengikut jejak langkah kumpulan Hujan, yang telah pun mempunyai syarikat naungan sendiri iaitu Morning Rocket Distro.

Artikel Lain