suria

Hafiz Juara Mania

Hafiz (tengah) membawa pulang wang tunai sebanyak RM500,000. Foto SHAARI CHE MAT
Hafiz (tengah) membawa pulang wang tunai sebanyak RM500,000. Foto SHAARI CHE MAT
Hafiz (tengah) membawa pulang wang tunai sebanyak RM500,000. Foto SHAARI CHE MAT

KUALA LUMPUR: Penyanyi Hafiz dinobatkan sebagai juara pada konsert akhir Mania di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil di sini, malam Sabtu.

Hafiz atau nama sebenarnya, Hafiz Suib , 22, mendapat undian tertinggi iaitu sebanyak 28 peratus sekaligus menerima wang kemenangan sebanyak RM500,000 beserta trofi.

Menurut bekas juara program realiti Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), dia bersyukur dengan kemenangan yang diperoleh walaupun tidak menyangka mampu mengalahkan empat lagi peserta saingannya iaitu Stacy, Jaclyn Victor, Hazama dan Aril.

"Saya terkejut dan pada masa sama gembira dengan anugerah ini.

"Semoga hadiah wang tunai sebanyak RM500,000 ini dapat saya manfaatkan dengan sebaik-baiknya," katanya pada sidang akhbar selepas konsert berlangsung.

Dalam pada itu, produser yang dipertanggungjawabkan sebagai penerbit Hafiz iaitu Ahmad Dhani turut menerima habuan sebanyak RM300,000.

Sementara itu, Stacy mendapat tempat kedua dengan mengumpulkan undian sebanyak 22 peratus menerima wang tunai sebanyak RM200,000 dan trofi.

Manakala Jaclyn Victor berada di tempat ketiga, setelah berjaya mendapat hasil undian sebanyak 22 peratus, sekaligus memperoleh wang tunai sebanyak RM100,000 beserta trofi.

Hadiah-hadiah tersebut telah disampaikan oleh Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh diiringi Pengurus Saluran Premium Astro, Nizam Sani.

Pada pembukaan konsert tersebut, peserta-peserta yang telah di singkir seperti Adira, Shila Amzah, Akim, Awi Rafael dan Atilia telah membawakan beberapa lagu medley.

Bagaimanapun, kehangatan konsert lebih dirasai dengan kehadiran Datuk Siti Nurhaliza dan kumpulan Wings.

Konsert Akhir Mania disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria dan Astro Prima.

Artikel Lain