suria

Adrian Jalaludin Mengembara Demi 20 Jenis Teh

Adrian Jalaludin mengembangkan cabang pengacaraan dari program bual bicara bola sepak kepada travelog. - Foto oleh CHAN TAK KONG
Adrian Jalaludin mengembangkan cabang pengacaraan dari program bual bicara bola sepak kepada travelog. - Foto oleh CHAN TAK KONG
Adrian Jalaludin mengembangkan cabang pengacaraan dari program bual bicara bola sepak kepada travelog. - Foto oleh CHAN TAK KONG

PETALING JAYA: Pengacara Adrian Jalaludin berkata pengalaman menerajui program travelog terbaru Tea Tracker jauh lebih mudah berbanding mengendalikan program bual bicara bola sepak yang sinonim dengannya sebelum ini.

Pemuda berusia 27 tahun ini berkata, Tea Tracker yang bakal ditayangkan di saluran ntv7 itu memberikan kebebasan kepadanya untuk mengacarakan program itu dengan lebih santai.

“Kalau hendak dibandingkan dengan program-program bual bicara rancangan sukan seperti Bola @ Mamak dan 4-4-2 BPL yang pernah saya kendalikan sebelum ini, Tea Tracker adalah lebih relaks dan santai.

“Saya bebas untuk berkomunikasi tanpa terikat dengan gaya yang serius dan statik. Saya sangat seronok dapat beraksi secara ‘gila-gila’ dan tidak perlu memandangkan tepat ke arah kamera ketika mengacara,” katanya kepada mStar Online.

Adrian ditemui selepas pelancaran program Tea Tracker di Theatrette Sri Pentas, Bandar Utama di sini, petang Jumaat.

Travelog sebanyak 13 episod itu akan menyusuri pengembaraan Adrian dalam menjejaki pelbagai jenis teh di beberapa negara Asia termasuk China, Jepun, India, Taiwan dan Myanmar.

Ia bakal disiarkan bermula 1 Jun depan selama 30 minit pada setiap Jumaat pukul 7.30 malam di ntv7.

Menyambung perbualan, Adrian berkata mengacara program tajaan Teh Sabah itu memberikan pendedahan yang menyeluruh kepadanya mengenai minuman itu dan sejarahnya.

“Ia satu pengalaman yang hebat. Saya berpeluang untuk mengenali secara mendalam mengenai jenis-jenis teh, latar belakang, budaya dan sejarah yang berkaitan dengan teh-teh ini pada setiap lokasi berlainan.

“Sebagai persiapan, saya perlu melakukan kajian dan mempelajari daripada penduduk setempat mengenai teh-teh ini bagi melancarkan hebahan informasi,” jelasnya.

Diusik mengenai teh kegemarannya selepas menamatkan rakaman program itu di beberapa lokasi terbabit, Adrian berkata dia jatuh cinta teh dari India yang mempunyai rasa luar biasa.

“Saya paling suka pada Teh Kangra dari bahagian utara India kerana aroma dan rasanya yang hebat dan luar biasa.

“Warna teh itu selepas dibancuh nampak sempurna dan menawan. Namun, ia sukar diperoleh dan harganya juga mahal,” kongsinya yang sempat menikmati kira-kira 20 jenis teh sepanjang rakaman itu.

Pengembaraan Tea Tracker yang bermula di Sabah mengambil masa penggambaran selama dua bulan dan singgah di 10 lokasi berlainan di negara-negara terbabit.

Artikel Berikut

Artikel Lain