suria

Menantu P.Ramlee Dapat Diskaun Bayar Cukai Pintu

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memberi kelonggaran kepada menantu Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee iaitu Surijaningsih Bakar bagi mengurangkan kadar tunggakan cukai pintu ke atas rumah peninggalan seniman itu di Taman Setapak Jaya, dekat sini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail seperti dilaporkan akhbar Kosmo!berkata, Surijaningsih, 43, yang juga balu anak P.Ramlee iaitu Nasir diberi pengecualian sebanyak 43 peratus atau RM4,385 daripada jumlah keseluruhan cukai iaitu RM10,151.50 bagi mengelakkan rumah tersebut disita.

"Ini bermakna pihak keluarga Surijaningseh hanya perlu membayar sebanyak RM5,766.50 secara ansuran sebanyak RM259 sebulan dalam tempoh dua tahun bermula April 2012 hingga Mac 2014.

"Pengecualian tunggakan cukai itu meliputi potongan faedah notis sebanyak dua peratus, waran denda sebanyak 10 peratus dan potongan jumlah kadar faedah terkumpul," katanya di Menara 1, Bangunan DBKL di sini, Isnin.

Tambahnya, semua komponen faedah tidak akan dikenakan terhadapnya dan meneliti kemungkinan untuk beliau menyelesaikan tunggakan cukai sedia ada.

"Pihak DBKL tidak boleh mengecualikan sepenuhnya tunggakan cukai tersebut dan apa yang saya boleh buat di bawah bidang kuasa saya sebagai Datuk Bandar ialah mengurangkannya.

"Sekiranya keluarga itu gagal membayar pada tempoh yang ditetapkan, kita akan panggil mereka untuk membincangkan perkara tersebut dengan lebih lanjut," kata Ahmad Fuad.

Sementara itu Surijaningsih meluahkan rasa bersyukur dan terima kasih kepada pihak DBKL yang begitu prihatin dengan nasib keluarga mereka.

Artikel Sebelum

Artikel Lain