suria

'Hunger Games' Masih Di Atas Selepas Empat Minggu Di Pawagam

LOS ANGELES: Filem "The Hunger Games" masih mengungguli kutipan box office Amerika Utara selepas empat minggu di pawagam dengan kutipan hujung minggu lalu sebanyak AS$21.5 juta.

Jumlah itu menjadikan kutipan keseluruhan filem tersebut kepada AS$337.1 juta di Amerika Utara sahaja.

Filem yang diadaptasikan daripada buku karya Suzanne Collins itu menceritakan mengenai seorang remaja perempuan lakonan Jennifer Lawrence bertarung untuk hidup dengan membunuh peserta-peserta remaja yang lain dalam satu program realiti televisyen pada masa hadapan.

Kutipan mingguan filem itu telah mengatasi filem "The Three Stooges" yang berjaya mengutip AS$17.1 juta dalam minggu pertamanya di pawagam.

Filem "The Cabin in the Woods," sebuah filem seram yang ditulis dan diterbitkan oleh pengarah filem "Avengers", Joss Whedon, berada di tempat ketiga dengan kutipan AS$14.85 juta.

Filem yang diterbitkan semula dalam bentuk 3D -"Titanic" yang dibintangi oleh Leonardo DiCaprio dan Kate Winslet - sempena ulang tahun ke-100 tenggelamnya kapal penumpang terbesar dunia itu menduduki tangga keempat dengan kutipan jualan tiket AS$11.6 juta.

"American Reunion" - lanjutan sambungan filem asal 1999 berjudul "American Pie" berada di tempat kelima dengan kutipan juala tiket AS$10.6 juta.

"Mirror Mirror" yang merupakan satu lagi adaptasi daripada buku cerita popular kanak-kanak Snow White berjaya mengutip AS$7 juta.

Filem aksi "Wrath of the Titans" yang merupakan sambungan kepada "Clash of the Titans" berada di kedudukan yang ketujuh dengan kutipan mencecah AS$6.9 juta.

Ia diikuti dengan filem "21 Jump Street," iaitu filem yang dihasilkan daripada siri televisyen popular 1980an mengutip AS$6.8 juta.

Di tempat kesembilan ialah sebuah filem tentang angkasa lepas "Lockout" yang dibintangi Guy Pearce dengan kutipan AS$6.25 juta manakala di tempat kesepuluh ialah filem animasi "Dr. Seuss' The Lorax" dengan kutipan berjumlah AS$3 juta.

Artikel Lain