suria

Remy Ishak Mengaku Bercinta Dengan Tiz Zaqyah

Remy Ishak
Remy Ishak
Remy Ishak

KUALA LUMPUR: Pelakon drama rantaian popular Nur Kasih, Remy Ishak, 29, mengaku bercinta dengan gandingannya, Tiz Zaqyah, 22.

Remy berkata, dia bukan ingin menyembunyikan hubungan tersebut kepada umum seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak sebaliknya tidak mahu menggembar-gemburkan kepada umum tentang hubungan yang belum tentu menjadi jodohnya.

"Sekarang, saya sedang berpacaran dengan Tiz. Saya tak mahu kecoh kerana kami masih lagi di tahap berkenalan dengan lebih rapat.

"Lagipun, kami tidak mahu orang luar mengharapkan sesuatu dan di penghujungnya jodoh kami tidak panjang.

"Lainlah kalau dah nak kahwin, semestinya saya akan beritahu kepada semua. Bagaimanapun, bagi yang tahu tentang hubungan kami, tahulah, saya tak kisah," katanya yang ditemui di lokasi penggambaran filem muzikal 29 Februari, di Stadium Merdeka.

Kisah hubungan cinta Remy dan Tiz mula menjadi bualan hangat sejak mereka dilihat berpegangan tangan ketika menyaksikan acara MotoGP di Sepang pada tahun lalu dan sering dilihat bersama.

Terbaru, Tiz berjumpa Remy di sebuah lokasi penggambaran dan mereka saling suap-menyuap ketika makan bersama.

Sementara itu, bercerita mengenai filem yang diterbitkan oleh KRU Studios itu, Remy memegang watak sebagai Budi yang lahir pada tarikh 29 Februari dimana dia akan lebih matang setiap empat tahun.

Kata Remy filem ini agak mencabar buatnya kerana dia perlu melakonkan watak yang hidup sejak tahun 1890-an hingga 2012 dimana dia perlu melalui perubahan zaman yang agak ketara.

"Bukan mudah untuk membawakan watak ini dan ia sangat mencabar kerana perjalanan hidup Budi memerlukan perubahan imej sebanyak lima kali. Macam-macam gaya rambut yang digayakan.

"Selain itu saya juga perlu menyanyi. Ini tidak sama seperti nyanyian saya dalam teater Natrah sebaliknya saya perlu menyanyi mengikut emosi watak bagi setiap babak," ujarnya.

Selain Remy, filem 29 Februari arahan Edry Abdul Halim turut dibintangi Jojo Goh, Izzue Islam, Dian P.Ramlee, Ramli Hassan, Johan Abdullah, Naim Daniel, Riz Amin serta Achong bakal ditayangkan pada pertengahan tahun depan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain