suria

Stephen Rahman Sukar Jiwai Lagu Melayu

Stephen Rahman ketika menerima replika album pertamanya di pejabat Sony Music di Solaris Dutamas di sini, Khamis. Foto THE STAR Oleh ELLIS KHAN
Stephen Rahman ketika menerima replika album pertamanya di pejabat Sony Music di Solaris Dutamas di sini, Khamis. Foto THE STAR Oleh ELLIS KHAN
Stephen Rahman ketika menerima replika album pertamanya di pejabat Sony Music di Solaris Dutamas di sini, Khamis. Foto THE STAR Oleh ELLIS KHAN

PETALING JAYA: Pelakon berbakat besar, Stephen Rahman Hughes mengakui sukar untuk menjiwai lagu Melayu kerana selama ini sudah terbiasa menggunakan bahasa Inggeris dalam urusan sehariannya.

Walau bagaimanapun Stephen berkata, kejayaan menghasilkan sebuah album berbahasa Malaysia adalah antara perkara paling bermakna dalam hidupnya meskipun mengambil masa setahun untuk dihasilkan.

Katanya lagi, dia berasa gembira apabila album pertama di bawah label Sony Music itu berjaya disiapkan dan tidak sabar untuk ia dipasarkan pada 6 Disember depan.

"Kesukaran saya adalah untuk menjiwai lagu ini kerana bahasa Malaysia mempunyai pelbagai perkataan yang membawa maksud sama. Jadi saya ingin betul-betul memahami apa yang saya nyanyikan supaya ia sampai kepada pendengar," ujarnya.

Stephen ditemui selepas majlis pra-dengar album bertajuk Stephen Rahman Hughes itu di pejabat Sony Music di sini, Khamis.

Dalam pada itu, Stephen berkata album ini diterbitkan bagi membuktikan komitmennya terhadap negara ini selain dapat mempelajari tentang dirinya sendiri.

Ujarnya, dia sentiasa seronok setiap kali dapat kembali ke Malaysia dan rakan-rakan serta rakyat negara ini telah mengubah dirinya.

"Saya sering teruja setiap kali dapat kembali ke Malaysia kerana sebahagian diri saya adalah di sini. Jadi dengan terbitnya album ini ia adalah sebagai satu tanda terima kasih kepada semua peminat di sini," katanya.

Sementara itu, Stephen memberitahu dia seronok bekerjasama dengan semua komposer terlibat menerbitkan album ini seperti Azlan Abu Hassan, Audi Mok, Kevin Chin dan Andre Dinuth.

Album tersebut memuatkan lapan buah lagu baru berkonsepkan pop Melayu dengan suntikan pop rock, pop alternatif dan balada.

Ditanya mengenai pemilihan pop Melayu sebagai konsep album, Stephen berkata selain ia mesra pendengar genre itu membuatkan dia lebih dekat dengan peminat di Malaysia.

"Saya boleh merakamkan album jaz atau “broadway” tetapi ia tidak akan memikat pendengar kerana ia adalah sesuatu yang biasa dilakukan. Saya mahu album ini menjadi sesuatu yang dekat dengan peminat," ujarnya.

Bakal dipasarkan di Singapura dan Brunei, album tersebut turut memuatkan sebuah lagu menampilkan penyanyi bersuara lantang Jaclyn Victor menerusi lagu Hati Berbisik.

Antara lagu lain di dalam album tersebut adalah Sejuta Rasa, Di Ribaan Cinta, Bertemu Di Syurga, Bawalah Aku, Cinta Masih Ada, Expresi dan Ku Lepas.

Artikel Berikut

Artikel Lain