suria

FFM24 Cipta Sejarah, 41 Filem Cereka Bertanding

Penerbit filem, pelakon dan pihak penganjur bergambar selepas sidang media pengumuman pencalonan di sini, Rabu. Foto THE STAR Oleh DANIL ROSLAN
Penerbit filem, pelakon dan pihak penganjur bergambar selepas sidang media pengumuman pencalonan di sini, Rabu. Foto THE STAR Oleh DANIL ROSLAN
Penerbit filem, pelakon dan pihak penganjur bergambar selepas sidang media pengumuman pencalonan di sini, Rabu. Foto THE STAR Oleh DANIL ROSLAN

PETALING JAYA: Festival Filem Malaysia ke-24 tahun ini menyaksikan penyertaan terbanyak dalam sejarah industri perfileman tanah air apabila sejumlah 41 buah filem cereka dipertandingkan berbanding 29 buah filem pada tahun lalu.

Daripada jumlah tersebut, 13 buah filem adalah terbitan syarikat produksi Metrowealth International Group (MIG) terpilih dalam saringan awal tersebut diikuti Grand Brilliance Sdn Bhd. (7 buah ) dan Tayangan Unggul (5 buah).

Antara filem yang dipertandingkan adalah seperti Aku Masih Dara, Damping Malam, Raya Tak Jadi, Sini Ada Hantu, Hantu Bonceng, Al-Hijab, Cun, Nur Kasih dan Bini-Biniku Gangster.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penyertaan dan Penjurian FFM24, Nancy Foo berkata, sebanyak lima juri profesional akan menentukan peringkat seterusnya bermula 21 Oktober depan.

Menurutnya lagi, senarai pendek filem yang berjaya ke peringkat akhir hanya akan diumumkan pada 4 November depan bersama-sama dengan kategori lain yang dipertandingkan.

"Format pemilihan adalah seperti yang telah digariskan oleh pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sebelum ini dan tiada apa yang akan berubah.

"Malah pihak penganjur buat masa ini tidak akan mendedahkan siapa barisan juri bagi memastikan ketelusan sistem pengadilan," ujarnya pada sidang media di sini, Rabu..

Selain filem cereka, pihak penganjur turut menerima penyertaan untuk Filem Pendek (31 buah) dan Filem Bukan Bahasa Melayu (7 buah).

Nancy berkata, selaras dengan tema festival filem tahun ini iaitu Gemilang Filem Malaysia, anugerah yang bakal disampaikan akan dinamakan Anugerah Gemilang yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu Anugerah Gemilang Perdana dan Anugerah Gemilang Cipta.

"Sebanyak 14 trofi akan diberikan di bawah kategori Anugerah Gemilang Perdana dan 11 untuk Anugerah Gemilang Cipta," ujarnya.

Dalam pada itu, Nancy berkata, terdapat dua lagi anugerah khas diwujudkan dalam FFM24 iaitu Anugerah Perdana Khas dan Anugerah Khas Juri.

Antara kategori yang bakal membawa pulang Anugerah Gemilang Perdana adalah Skor Muzik Asal Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita dan Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita dan Lelaki Terbaik, Pengarah Terbaik dan Filem Terbaik.

Manakala untuk Anugerah Gemilang Cipta pula adalah bagi Pelakon Harapan Lelaki dan Wanita Terbaik, Poster Terbaik, Kesan Khas Visual Terbaik, dan Filem Box-Office.

Kemuncak FFM24 akan berlangsung pada 19 November depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan akan disiarkan secara langsung di Astro Prima (saluran 105).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain