suria

Melvin Sia Kagumi P.Ramlee

Foto SHAARI CHE MAT
Foto SHAARI CHE MAT
Foto SHAARI CHE MAT

PEMENANG Pelakon Terbaik dan Pelakon Paling Popular, Golden Award 2010, Melvin Sia mengakui sangat mengagumi lakonan seniman agung Tan Sri P.Ramlee.

Malah, dia banyak belajar dan membuat kajian beberapa filem lakonan Allahyarham sebelum melakonkan sesebuah watak terutamanya watak-watak komedi.

“Walaupun saya jarang menonton cerita Melayu tetapi nama P.Ramlee sudah tidak asing bagi saya dan saya yakin semua orang mengenali beliau.

“Saya sendiri menonton beberapa filem lakonannya sebagai panduan untuk belajar menjiwai sesebuah karakter.

“Kalau boleh saya ingin menjadi seperti dia, yang mana setiap watak yang dilakonkan meninggalkan kesan dan boleh diingati,” ujarnya.

Jejaka berusia 21 tahun ini menganggap dirinya masih terlalu mentah dalam industri ini biarpun telah meraih beberapa anugerah besar. Dia juga mengakui masih belum mendapat kepuasan dalam setiap lakonannya.

“Saya masih belum mendapat apa yang saya inginkan, iaitu karakter yang betul-betul kuat dan mencabar lakonan saya.

“Setakat ini watak yang saya mainkan biasa sahaja, walaupun menerima anugerah tapi kepuasan dalam diri masih belum ada.

“Kalau boleh saya mahu karakter yang memberi kesan kepada penonton, tidak kira baik atau jahat,” katanya.

Berlakon di Taiwan

Impiannya untuk membawa nama negara ke luar negara semakin terlaksana apabila ditawarkan berlakon dengan sebuah produksi dari Taiwan.

“Saya melangkah ke dunia lakonan kerana minat yang mendalam, kalau boleh bukan sahaja mahu memperkenalkan nama saya tetapi membawa nama Malaysia ke luar negara.

“Bulan hadapan saya akan berangkat ke Taiwan untuk membintangi sebuah drama di sana. Ini adalah impian saya untuk menimba pengalaman di luar negara.

“Bagaimanapun ia tidak bermaksud saya ingin terus berada di sana, saya masih ingin berlakon di sini cuma selepas ini jadual mungkin lebih padat,” katanya.

Sementara itu, anak muda kelahiran Sarawak ini turut mempunyai bakat dalam bidang nyanyian. Berpeluang mengembangkan bakat ke Taiwan, Melvin tidak mahu melepaskan peluang untuk melancarkan album sulungnya di sana.

“Saya bermula dalan industri ini dengan pertandingan nyanyian Star Search pada tahun 2003. Tapi selepas itu, rezeki banyak berpihak kepada bidang lakonan.

“Tetapi minat dalam bidang nyanyian masih lagi menebal dan saya ambil peluang ini untuk kembali menyanyi. Album pertama saya akan dilancarkan bulan hadapan dan akan turut dipasarkan di Taiwan,” jelasnya.

Bercerita tentang kehidupan peribadi, Melvin secara jujur memberitahu dia masih belum mempunyai teman istimewa yang digelar kekasih.

“Sekarang saya masih lagi tidak mempunyai kekasih. Mungkin kerana kekangan masa yang menyebabkan tiada masa untuk itu.

“Lagi pula usia saya masih lagi muda dan kalau boleh ingin fokus kepada kerjaya terlebih dahulu. Sebagai lelaki saya sendiri mahukan kehidupan yang stabil sebelum mempunyai komitmen kepada orang lain,” ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain