suria

Anggap Dunia Seni 'Busuk', Faezah Mahu Bersara Jadi Pelakon

PETALING JAYA: Pelakon Faezah Elai berhasrat untuk bersara sebagai pelakon dalam tempoh empat tahun lagi kerana menganggap dunia glamor yang dilaluinya adalah “busuk”.

Kata pelakon berusia 28 tahun ini, dia bosan dengan 'taktik kotor' yang digunakan oleh kebanyakan penerbit drama atau filem yang gemar 'dikipas' sebelum memberi peranan atau watak kepada pelakon dalam sesebuah terbitan mereka.

"Sepanjang tiga tahun saya berkecimpung dalam dunia lakonan, apa yang saya lihat, seseorang pelakon itu diberi peluang berlakon walaupun lakonan mereka tidak berkualiti dan tak sehebat mana.

"Mereka perlu mengipas para penerbit mahupun pengarah untuk mendapatkan sesebuah tawaran berlakon.

"Saya masih ingat lagi ketika awal-awal pembabitan saya dalam industri seni, pihak produksi mengugut saya untuk menjatuhkan karier saya jika tidak mengikut kata-kata mereka.

"Cukuplah dengan apa yang dilalui. Saya tak mungkin akan berlakon sampai bila-bila. Dunia glamor itu busuk," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.

Justeru itu, Faezah merancang untuk membuka sebuah pusat asuhan kanak-kanak dalam masa terdekat dan sedang mempelajari selok-belok mengenai pengurusan pusat asuhan tersebut.

Sementara itu, ditanya mengenai khabar angin yang mengatakan sedang hangat bercinta dengan pengarah drama Asmara, Heikal Hanafiah, Faezah menafikan sekeras-kerasnya.

"Saya terkejut dengan gosip itu. Kenapa dia? Tak mungkinlah saya nak bercinta dengan dia. Kami berkawan biasa saja, tidak lebih dari itu.

"Saya akui masa penggambaran drama Asmara, kami ada berbuka puasa bersama, itu pun ditemani pembantu peribadi saya.

"Inilah kali pertama saya disoal mengenai gosip cinta. Saya ini jenis yang jarang keluar rumah jika tidak ada apa-apa aktiviti lakonan, dengan harapan ingin menjaga diiri agar tiada kontroversi," ujarnya.

Faezah bakal memulakan penggambaran filem Halilintar pada bulan ini dan sambungan Asmara 2 pada tahun hadapan.

Artikel Sebelum

Wardina Ajak Guna Produk Halal

Artikel Berikut

Artikel Lain