suria

Hip Hop & Zapin Inspirasi Amirah Ali

Amirah merupakan pendatang baru dalam industri muzik tanah air. - Foto oleh RAYMOND OOI
Amirah merupakan pendatang baru dalam industri muzik tanah air. - Foto oleh RAYMOND OOI
Amirah merupakan pendatang baru dalam industri muzik tanah air. - Foto oleh RAYMOND OOI

SEMUANYA bermula daripada cetusan irama Hip Hop dan Zapin yang didengarinya menyebabkan penyanyi dan komposer baru, Amirah Ali tertarik untuk menggabungkan elemen muzik moden dan tradisional menjadi satu.

Minat pemilik nama Amirah Ameer Ali, 27, ini bertambah lebih-lebih lagi mendengar lagu-lagu penyanyi bertaraf antarabangsa iaitu Anggun yang menggabungkan irama etnik.

Jika boleh, dia juga mahu mengikut jejak langkah penyanyi berasal dari Indonesia itu untuk membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa dengan muzik world.

Amirah pernah belajar di Northen Illinois, Amerika Syarikat dalam bidang gamelan, seni Asian dan teater. Selepas menyelesaikan pengajian sarjananya pada Mei 2009, anak sulung dari dua beradik itu mencuba nasib sebagai penggubah lagu selama setahun di Amerika Syarikat.

“Saya ingin meraikan kebudayaan Malaysia yang berbilang kaum dengan menggabungkan pelbagai jenis muzik tradisional dalam gubahan lagu sendiri,” katanya sambil tersenyum.

Pada awalnya Amirah tidak pernah mengimpikan untuk bergelar seorang penyanyi.

Antara lagu yang dihasilkan oleh Amirah termasuklah Joget Lebaran, Syawal, Your God Give To Me dan Kian Hari Kian Rindu.

“Semasa menghasilkan lagu-lagu itu, saya mengimpikan penyanyi-penyanyi terkenal menyanyikannya. Misalnya lagu Joget Lebaran dinyanyikan oleh Datuk Siti Nurhaliza, Syawal dinyanyikan oleh Anuar Zain manakala Your God Give To Me oleh Celine Dion.

“Lagu Inggeris itu boleh didengar di YouTube. Selain itu, lagu Katakanlah telah dimuat naik oleh beberapa blog seperti milik pelakon Patrick Teoh dan wakil NGO Datin Paduka Marina Mahathir.

Selepas itu ramai yang memberikan respons dengan meminta saya menyanyikan lagu-lagu itu sendiri,” katanya kepada mStar Online.

Kini, karier Amirah diuruskan oleh pemuzik Ash. Mereka berkenalan di laman web sosial Facebook sejak empat tahun lalu. Bagi sesiapa yang mahu berhubung dengan Amirah untuk jemputan persembahan, boleh hubungi Ash di talian 019-2337770.

Sekarang dia telah menghasilkan sebuah EP bertajuk Koleksi Lagu Aidilfitri Syawal Amirah Ali yang memuatkan lima buah lagu iaitu Syawal, Joget Lebaran, Dondang Raya, Katakanlah dan Malaysia.

Ia akan berada di pasaran mulai minggu ini dan dijual di setiap cawangan Pasar Raya Mydin. Untuk maklumat lanjut, layari laman web Amirah di www.amirahali.com.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain