suria

Smallville Kembali Menghangatkan Malam Minggu

SIAPA sangka siri drama kegemaran ramai, Smallville kini telahpun masuk ke musim yang ketujuh dan terus menjadi ikutan jutaan para peminat setianya di seluruh dunia.

Kembali dengan lebih drama dan aksi yang mendebarkan, jangan lupa saksikan kesinambungan kepada interpretasi semula mitologi Superman untuk sama-sama mengetahui tentang rahsia dan misteri di sebalik kewujudan dan takdir adiwira muda di TV3, setiap Ahad, pukul 10 malam mulai 11 Julai ini.

Dengan barisan pelakon-pelakon hebat seperti Tom Welling, Kristin Kreuk, Michael Rosenbaum, Erica Durance, Allison Mack, John Glover, Aaron Ashmore dan Laura Vandervoort, musim ketujuh ini juga menampilkan watak-watak klasik yang pastinya menyeronokkan.

Musim ini, Clark Kent (Welling) yang sering dibayangi kemelut beban dan tanggungjawab menyelamatkan dunia terpaksa meneruskan kehidupan senormal yang mungkin dengan identiti rahsia.

Bukan sahaja Clark perlu berdepan dengan musuh yang lebih kuat dan berbahaya seperti Bizarro yang mempunyai kelebihan kuasa hebat seperti Superman malah hampir setiap halangan yang dihadapi memerlukan pengorbanan besar daripada Clark.

Dalam keadaan dilema dan tertekan, Clark ditemukan dengan sepupunya, Kara (Vandervoort) yang berkongsi asal-usul dan ciri-ciri luar biasa Planet Kypton.

Sementara itu, rakan-rakan rapat Clark juga berdepan dengan isu dan masalah masing-masing di dalam situasi yang berlainan.

Sekembalinya Lana (Kreuk) ke pekan Smallville dari Shanghai setelah berita mengenai kematiannya yang dipalsukan terbongkar, dia terpaksa mengharungi tempoh yang sukar.

Dia perlu berusaha keras untuk kembali memenangi kepercayaan daripada teman baiknya, Clark dan Chloe (Mack) yang kecewa akibat ditipu mengenai tragedi kemalangan yang menimpa dirinya.

Tiada pilihan lain, Lana juga perlu menyelesaikan pertelingkahan serius dengan suaminya, Lex (Rosenbaum) yang semakin hari semakin renggang menyebabkan perkahwinan yang baru dibina umpama retak menanti belah.

Kemuncak musim ke-7 pastinya menampilkan perhitungan yang dinanti-nantikan oleh adiwira dan antagonis utama Smallville di Fortress of Solitude, lokasi bersejarah tempat pertarungan di antara kuasa baik dan jahat.

Dapatkah Lex menewaskan Clark dan sekaligus merampas kuasa mutlak dan menjadi orang yang paling berpengaruh di dunia seperti yang diidam-idamkan selama ini? Mampukah Clark untuk bertahan dan menghentikan niat jahat Lex daripada menguasai dunia?

Dengan memaparkan babak-babak yang realistik dan kesan khas yang canggih, Smallville merupakan penghasilan semula Superman berkisarkan dari akar umbinya.

Siri ini dibawa ke kaca televisyen oleh Alfred Gough & Miles Millar yang pernah menerbitkan "Herbie Fully Loaded," "Shanghai Noon" dan "Spider-Man 2" berdasarkan watak dari DC Comics.

Antara penerbit eksekutifnya termasuklah Gough & Millar, Mike Tollin, Brian Robbins, Joe Davola yang pernah menerbitkan "One Tree Hill," "The Bronx Is Burning," "Norbit," dan "Wild Hogs" dan Ken Horton yang pernah menerbitkan "The X-Files" dan "Millennium".

Penonton boleh menyaksikan kemunculan Clark dan rakan-rakannya dalam “Smallville” musim ketujuh, setiap Ahad, bermula 11 Julai, pukul 10 malam, dan pada waktu tetap jam 9.30 malam mulai minggu berikutnya eksklusif hanya di TV3.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain