suria

Kes Khalwat Norman-Memey: Pegawai JAIS Ubah Pengakuan

Norman dan Memey keluar dari mahkamah ketika perbicaraan ditangguhkan 15 minit. - Foto THE STAR Oleh M.AZHAR ARIF
Norman dan Memey keluar dari mahkamah ketika perbicaraan ditangguhkan 15 minit. - Foto THE STAR Oleh M.AZHAR ARIF
Norman dan Memey keluar dari mahkamah ketika perbicaraan ditangguhkan 15 minit. - Foto THE STAR Oleh M.AZHAR ARIF

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai penguat kuasa agama Daerah Gombak Barat yang sebelum ini mengakui bahawa lakaran pelannya tempat kejadian Norman Hakim dan pasangannya, Memey Suhaiza disyaki berkhalwat sebagai tidak tepat dan dirinya tidak boleh dipercayai, mengubah pengakuannya hari ini.

Rezman Abdullah, 40, berbuat demikian ketika disoal oleh Pendakwa Syarie, Muhamad Nazri Basrawi di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Keramat dekat sini hari ini.

Perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Syarie, Salehan Yatim.

Muhamad Nazri: Adakah kamu hendak kekalkan keterangan kamu sebelum ini? Adakah kamu bersetuju bahawa anda seorang pelukis pelan lakar yang tidak boleh dipercayai?

Rezman: Saya tidak bersetuju.

Pasangan terbabit hadir bersama hari ini di mahkamah. Norman berpakaian kemeja lengan panjang putih dan bersongkok manakala Memey berbaju kurung putih serta berselendang.

Mereka tiba lewat ketika prosiding telah berlangsung kira-kira 5 minit.

Saksi keenam, Muhamad Yusri Abd Razak yang merupakan orang awam tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini kerana berada di Pahang atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Justeru, Salehan menetapkan 30 Julai dan 13 Ogos pada sebelah pagi dan petang selain 20 Ogos pada sebelah petang untuk mendengar keterangan saksi berikutnya.

Dalam prosiding pada 4 Jun lalu, Rezman ketika disoal balas oleh Fakhrul terpaksa bersetuju bahawa dirinya tidak boleh dipercayai.

Ini kerana, kata Fakhrul, Rezman memberikan keterangan yang tidak benar dan sebagai pelukis pelan lakar yang akan digunakan di mahkamah dia telah melakukan kecuaian dengan tanggungjawab yang diamanahkan.

Norman dan Memey sedang dibicarakan atas tuduhan berada bersama dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak antara pukul 1.45 dan 3 pagi, 30 Oktober 2008 di pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP 1/2, Taman Ukay Perdana, Ampang, dekat sini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain