suria

Indie Mice Kumpulan Muzik Serumpun

Kumpulan muzik baru, Indie Mice membuat persembahan di National Press Club (NPC), baru-baru ini. Pada persembahan itu, kumpulan yang dinaungi oleh lima anak muda itu menyampaikan enam buah lagi dari album pertama mereka bertajuk "1 Rumpun." Antara lagu-lagu yang dipersembahkan ialah "Helah", "1Malaysia" dan "Jangan Sesekali". - Foto BERNAMA
Kumpulan muzik baru, Indie Mice membuat persembahan di National Press Club (NPC), baru-baru ini. Pada persembahan itu, kumpulan yang dinaungi oleh lima anak muda itu menyampaikan enam buah lagi dari album pertama mereka bertajuk
Kumpulan muzik baru, Indie Mice membuat persembahan di National Press Club (NPC), baru-baru ini. Pada persembahan itu, kumpulan yang dinaungi oleh lima anak muda itu menyampaikan enam buah lagi dari album pertama mereka bertajuk "1 Rumpun." Antara lagu-lagu yang dipersembahkan ialah "Helah", "1Malaysia" dan "Jangan Sesekali". - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Muzik tidak mengenal sempadan atau bangsa, lantas lahirlah Indie Mice, kumpulan muzik yang menggabungkan lima anak muda dari Malaysia dan Indonesia membawa mesej perpaduan menerusi album pertama berjudul "1Rumpun".

Dengan semangat setiakawan dua negara berjiran, kumpulan Indie yang ditubuhkan April tahun lepas berharap dapat menembusi pasaran di kedua-dua negara selepas album mereka dilancarkan tidak lama lagi.

Lima anak muda itu bertemu di salah sebuah kelab di tempat mereka bekerja di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu. Tiga orang dari Malaysia iaitu Noah atau nama sebenar Sharul Anuar Baharuddin, 31, selaku vokalis; Hazreq, atau Mohd Hazreq Mohd Husin, 25, (dram); dan Hadi iaitu Rumhadi Rumnan, 31, (gitar).

Rakan mereka dari Indonesia pula ialah Dede atau Zainuddin Ahmad, 32, berasal dari Bandung, selaku pemain bass dan Chandra Istiawan, 30, atau lebih dikenali sebagai Ledu yang berasal dari Jakarta (gitar).

Noah berkata penyatuan anggota kumpulan dari dua negara tidak bermaksud ia menonjolkan elemen muzik etnik Malaysia dan Indonesia kerana mereka sebenarnya membawa konsep muzik "pop rock" dengan susunan muzik yang berbeza.

"Kami berjumpa secara kebetulan... penggabungan ahli band dari dua negara bagi kami merupakan satu advantage untuk kami melebarkan sayap kami ke Indonesia memandangkan bukan mudah untuk tembusi pasaran di sana," katanya selepas membuat persembahan di Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) di sini.

Dalam persembahan itu, Indie Mice menyampaikan enam buah lagu daripada album sulung mereka, "1Rumpun" yang dirakam di Beesound Studio, Jakarta.

Lagu-lagu yang dipersembahkan ialah daripada single pertama mereka yang kini kerap diputarkan di corong-corong radio iaitu "Helah" dan lima lagu lain iaitu "Akankah Kembali", "Kau", "Bintang Semalam", "Jangan Sesekali", dan "Satu Malaysia".

Lagu "Satu Malaysia" menyelitkan mesej "1Malaysia" yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan lirik pada korus lagu itu antaranya berbunyi, "hapuskan semua rasa sengketa, satu bendera satu Malaysia..."

Noah berharap peminat akan lebih mengenali muzik Indie Mice melalui susunan lagu, lirik dan melodi yang dicipta oleh mereka sendiri.

"Sekarang ini industri muzik sedang mengalami situasi kelambakan band-band dan susah nak cari originality muzik, namun peminat akan mengenali muzik kami dari tiga elemen itu," katanya.

Noah berkata pada Julai nanti, Indie Mice akan mengadakan persembahan di tiga buah bandar di Indonesia iaitu Jakarta, Medan dan Palembang.

Kumpulan indie merupakan kumpulan muzik yang berdiri sendiri tanpa bergantung kepada syarikat rakaman tertentu.

Ia mula popular di Malaysia kira-kira tiga tahun lepas dengan kemunculan kumpulan seperti "Estranged" dan "Meet Uncle Hussain".

Bagaimanapun, bagi tujuan promosi dan pengedar album, Indie Mice menggunakan khidmat syarikat Sony Music Publishing Sdn Bhd.

Sementara itu, Presiden NPC Datuk Ahirruddin Attan berkata kelab tersebut menyediakan platform kepada kumpulan muzik baru seperti Indie Mice untuk mengembangkan muzik serta mencari ruang untuk bernafas dalam industri seni tempatan.

Sebuah lagi kumpulan yang akan melancarkan album single di NPC ialah Stone Bay pada 30 April. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain