suria

Suami Tanya Kenapa Saya Buat Lirik 'Amarah' - Siti

SUDAH lama penyanyi tersohor ini mengimpikan sebuah album duet bersama teman baiknya, Krisdayanti (KD). Akhirnya, hasrat itu terlaksana jua apabila album berjudul CTKD:Canda, Tangis, Ketawa, Duka sudah mula berada di pasaran baru-baru ini.

Tutur Datuk Siti Nurhaliza, bukan saja dirinya, malah KD juga amat lega dengan kemunculan album tersebut setelah beberapa kali penghasilannya ditangguhkan sebelum ini kerana kesibukan jadual kedua-dua 'diva' ini.

Album yang dilihat sebagai curahan emosi dua penyanyi popular ini telah mendapat sentuhan beberapa komposer Malaysia iaitu Audi Mok, Aubrey Suwito dan Sharon Paul, serta tidak ketinggalan sebuah lagu ciptaan dari seorang komposer Indonesia, Muhammad Charly van Houten atau Charly yang merupakan vokalis kumpulan ST12.

Sepuluh buah lagu dimuatkan di dalam album usahasama antara SNP (M) Sdn Bhd dan KD Record ini, yang mana enam daripadanya adalah lagu penuh manakala empat lagi merupakan minus one.

Antara lagu di dalam album itu ialah Jika Kau Tak Datang, Tanpamu, Amarah dan Sebagai Teman.

"Walaupun saya baru muncul dengan album Tahajjud Cinta, tetapi saya yakin peminat tidak akan terkeliru dengan album duet ini. Tahajjud Cinta menampilkan mesej ketuhanan manakala album duet ini lebih ke arah pop.

"Apapun, saya memang seronok dengan album CTKD ini kerana semua lagu adalah nyanyian kami bersama, tiada langsung lagu dinyanyikan solo. Proses rakaman album ini juga memang menyeronokkan walaupun ia dibuat dalam masa yang agak singkat.

"Insya-Allah, saya dan KD ada merancang untuk melakukan konsert atau 'road tour' bersama kelak di Malaysia dan Indonesia.

"Tapi buat masa ini, biarlah kami selesaikan satu persatu dulu kerja yang kami lakukan sebelum beralih ke agenda seterusnya," ujar Siti ketika ditemui pada sesi latihan Konsert Bagaikan Sakti bersama M.Nasir di Bsync Production, baru-baru ini.

Kata isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ini, dia juga gembira melihat respon ramai terhadap lagu Amarah yang sudah pun mula diputarkan di beberapa stesen radio tempatan. Lagu tersebut merupakan ciptaan Audi Mok dan lirik oleh Siti sendiri.

"Lagu ini memang menarik sebenarnya. Melodinya ala-ala ke arah tekno, tetapi liriknya penuh beremosi. Memang ia sesuatu yang berbeza dengan apa yang pernah saya nyanyikan sebelum ini.

"Idea menghasilkan lirik itu sebenarnya datang spontan saja ketika saya dan KD berada di studio untuk merakamkan lagu tersebut. Ia adalah tentang emosi marah. Ada juga yang tanya mengapa saya buat lirik 'marah-marah' macam tu.

"Malah, suami juga pernah bertanya pada saya, lagu itu menunjukkan saya marah pada siapa? Sebab kata suami, dia risau nanti orang ingatkan lagu itu adalah tentang dirinya pula. Janganlah salah sangka, lirik itu berdasarkan idea kreatif saya saja.

"Saya mengambil inspirasi daripada pelbagai kisah yang berlaku di sekeliling saya, termasuklah apa yang dilalui oleh KD sendiri. Dia juga ada membantu saya serba-sedikit," kata Siti dalam nada ceria.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain