suria

Bernama Radio 24 Janji Kelainan Program Untuk 2010

Ketua Pegawai Operasi Radio24 Sheikh Raffie Abd Rahman.
Ketua Pegawai Operasi Radio24 Sheikh Raffie Abd Rahman.
Ketua Pegawai Operasi Radio24 Sheikh Raffie Abd Rahman.

KUALA LUMPUR: Bernama Radio24, yang sudah beroperasi 27 bulan, bakal menampilkan kelainan dalam penstrukturan programnya demi memuaskan hati pendengar stesen berita itu di sekitar Lembah Klang mulai 2010.

Ketua Pegawai Operasi Radio24 Sheikh Raffie Abd Rahman berkata kelainan yang dijanjikan kepada pendengar setia radio itu adalah seiring dengan citarasa pendengar dan akan dilakukan secara berperingkat-peringkat.

"Kita sentiasa cuba mencari kelainan dalam setiap program kita dan seperti yang anda tahu, bermula 6 pagi hingga 9 malam kita akan siarkan program dan berita Bahasa Melayu dan dari 9 malam hingga 6 pagi untuk program dan berita berbahasa Inggeris.

"Ini adalah salah satu kelainan yang kita lakukan. Ini sebenarnya (kelainan) kita ambil daripada pengalaman sejak dua tahun beroperasi dan juga maklum balas daripada pakar dan pendengar.

"Program "Kerusi Panas", Black Maria dan Kepenggunaan akan melalui transformasi dan kita juga akan menambah baik setiap program itu selepas tiga bulan berikutnya mengikut citarasa pendengar," katanya kepada Bernama di sini, hari ini Sheikh Raffie berkata Radio24 juga akan mewujudkan segmen buletin Kuala Lumpur, program berita yang menfokuskan berita setempat yang akan disiarkan empat kali sehari mulai tahun depan.

"Selain itu, program berbentuk pertandingan iaitu trivia24 juga akan ditambah nilai," katanya.

Program trivia24 adalah program pertandingan yang menawarkan ganjaran wang tunai untuk setiap lima soalan yang dijawab dengan betul dalam masa seminit oleh pemanggil dan nilai wang tunai itu akan ditambah keesokannya sekiranya pemanggil gagal untuk menjawab lima soalan berkisar kepada berita yang berbentuk pengetahuan am, sejarah dan geografi.

Sheikh Raffie berkata Radio24 yang dipancarkan melalui frekuensi FM 93.9 dalam perancangan untuk memperluaskan lagi jaringan liputan frekuensinya dan akan menambah kira-kira 10 lagi transmiter pemancar frekuensi di seluruh negara.

"Tetapi perkara ini perlu diadakan kajian liputan terlebih dahulu," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Radio24 juga akan meningkatkan lagi promosi stesen radio itu terutamanya di sekitar Lembah Klang.

Radio24 akan meningkatkan lagi Pengurusan dan Program Masa ke Udara (AMP) untuk menarik minat warga Lembah Klang mendengar stesen radio itu.

"Warga Lembah Klang dianggarkan kira-kira enam hingga tujuh juta dan di Kuala Lumpur sahaja ada lebih kurang dua juta penduduk dan boleh dikatakan hampir 90 peratus daripadanya adalah pendengar radio. Kalau kita boleh tarik 10 peratus daripada jumlah ini, ia adalah baik.

"Format radio kita adalah berbeza daripada stesen radio yang ada di negara ini. Kita melebihkan berita sejajar dengan matlamat penubuhannya dan hanya 10 hingga 20 peratus adalah muzik yang mengikut cita rasa golongan sasaran kita iaitu berumur 30 tahun ke atas," katanya.

Sheikh Raffie berkata sejak ditubuhkan, selain mendapat perhatian daripada kalangan warga Lembah Klang, ia juga turut mendapat perhatian daripada kalangan VVIP dan VIP seperti para menteri, ahli perniagaan serta golongan artis ekoran kepantasan stesen radio itu dalam menyalurkan berita secara tepat.

Radio24, yang dilancarkan pada 3 Sept 2007 oleh bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin, kini mempunyai 60 warga kerja. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain