suria

Que Tidak Selesa Apabila Lakonannya Dipertikai

SELAMA hampir lima tahun bergelar anak seni, aktor Que Haidar atau nama sebenar Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 30, jarang menghampakan peminat mahu pun media menerusi persembahan lakonannya.

Sama ada tampil di kaca TV atau layar lebar, pesona Que terus memikat dengan kepelbagaian watak yang dipersembahkannya hingga mampu meletakkan aktor muda ini di liga yang tersendiri. Malah, kemenangan Que sebagai Pelakon Lelaki TV Terbaik di Anugerah Skrin 2009 awal bulan ini, terus memperakui dirinya sebagai pelakon yang berkualiti dan versatil.

Namun, kemunculan terbaru aktor kelahiran Kulai, Johor ini menerusi filem Duhai Si Pari-Pari (DSPP) dilihat sedikit mengecewakan. Memainkan watak Syadon, seorang lelaki yang lurus bendul dan bodoh-bodoh alang, Que seakan tidak berjaya membawa lakonan yang berkesan dan meninggalkan impak. Malah, dilihat kurang menyerlah seperti kebiasaannya. Sudah menjadi lumrah, seseorang pelakon itu akan mengalami pasang-surut lakonannya.

Namun, bukan mutu lakonan yang lemah menjadi pertikaian. Sebaliknya, etika dan sikap tidak profesional Que yang menimbulkan ketidakselesaan.

Sejurus pratonton DSPP malam kelmarin, rata-rata reaksi dan pandangan ikhlas daripada kalangan rakan media yang hadir seakan kurang 'berkenan' dengan karya sulung arahan pengarah baru Azmi Md Hata itu. Begitu juga dengan mutu lakonan Que yang mengundang kritikan apabila ia dilihat sebagai kurang berkesan.

Tetapi, reaksi dan sikap Que ketika sesi sidang media filem itu seakan tidak berpuas hati apabila diajukan soalan bertalu-talu daripada media mengenai mutu lakonannya. Jelas sekali, Que telah menunjukkan reaksi dan mimik muka yang tidak selesa dengan komen dan pandangan media terhadap lakonannya.

Ketika diminta mengulas mengenai mutu lakonannya yang mengecewakan, Que yang mempamerkan reaksi tidak 'senang' berkata, dia telah memberikan lakonan yang terbaik bagi menjiwai watak tersebut.

Menjadikan orang di sekelilingnya sebagai sumber rujukan bagi menterjemahkan watak Syadon, Que bagaimanapun akur, sebagai seorang pelakon dia tidak sempurna dan tidak mampu memuaskan hati semua pihak sepanjang masa.

"Mungkin mutu lakonan saya pada filem kali ini tidak berjaya memikat hati semua pihak. Saya akui, komedi bukan genre yang mudah untuk dilakonkan.

"Sebelum ini, bakat saya telah diakui menerusi lakonan di dalam genre drama berat, cinta dan romantik, seram juga aksi.

"Namun, sebagai pelakon saya perlu mencabar diri untuk menjayakan pelbagai watak termasuk komedi.

"Ia bukan tanggungjawab yang mudah. Namun, saya tetap mencuba kerana wataknya menarik dan belum pernah saya cuba. Sebelum ini, memang saya pernah melakonkan watak komedi dalam Zombie Kampung Pisang (arahan Mamat Khalid), namun kali ini, wataknya berbeza.

"Saya cuba untuk menghayati watak Syadon sebaik mungkin. Malah, ketika mula-mula terima skrip filem ini, saya terpaksa 'bertapa' di rumah seorang teman baik selama dua malam berturut-turut semata-mata untuk belajar daripadanya mengenai watak Syadon.

"Saya cuba serap pelbagai karektor orang di sekeliling saya untuk menjadi Syadon. Mujurlah saya berkawan dengan pelbagai jenis orang dan ini sedikit sebanyak memudahkan penghasilan karektor Syadon," katanya.

Bercerita mengenai faktor yang mempengaruhinya untuk memainkan watak Syadon, Que berkata, dia menerima tawaran itu kerana harga bayaran lakonan yang ditawarkan oleh Tayangan Unggul.

Walaupun enggan mendedahkan jumlah bayarannya, Que mengakui bayaran yang ditawarkan sangat memuaskan hati.

"Sejujurnya saya terima tawaran ini kerana duit. Sebagai pelakon ini adalah sumber pendapatan saya. Apabila mereka (TU) menawarkan watak ini ini kepada saya dengan bayaran yang memuaskan, sudah tentu saya terima dengan besar hati.

"Lagi pun, saya sangat selesa bekerja dengan krew produksi ini. Saya sudah mengenali mereka agak lama dan telah bekerjasama beberapa kali sebelum ini.

"Saya yakin dan percaya dengan kualiti dan etika kerja mereka. Pendek kata, kami ada keserasian dan senang bekerjasama," ujar Que.

Selain Que, filem ke-24 terbitan TU ini turut menampilkan Liyana Jasmay, Harun Salim Bachik, Nabil Huda, Remy Ishak dan ramai lagi. Duhai Si Pari-Pari yang menjengah pawagam pada 31 Disember ini bakal melabuhkan tirai tayangan filem Melayu untuk tahun 2009.

Artikel Lain