suria

Liyana Jasmay: Tahun Rahmat Untuk Saya

Kejayaan besar ini memberi cabaran lebih besar untuk Liyana terus bekerja dengan lebih gigih di hari mendatang
Kejayaan besar ini memberi cabaran lebih besar untuk Liyana terus bekerja dengan lebih gigih di hari mendatang
Kejayaan besar ini memberi cabaran lebih besar untuk Liyana terus bekerja dengan lebih gigih di hari mendatang

TERASA baru sahaja Liyana Jasmay dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi 'Papadom' di Festival Filem Malaysia ke-22, Ogos lalu.

Jumaat lalu, gadis kecil molek ini sekali lagi mengukir sejarah tersendiri apabila diangkat untuk kategori serupa di Anugerah Skrin 2009 (ASK 2009). Kali ini, Liyana Jasmay atau lebih mesra dengan sapaan Nana dipilih menerusi lakonan spontannya di dalam filem "KAMI The Movie'.

"Tahun ini tahun rahmat untuk saya. Bayangkan saya baru saja diangkat sebagai Pelakon Wanita terbaik di FFM, kini di ASK pula. Memang saya tidak jangka," jawab Liyana.

Apabila ditanya perasaannya terhadap kemenangan di ASK 2009, aktres genit ini bagai hilang kata-kata kerana tidak menjangka akan menjadi pilihan juri sebagai pemenang.

"Ini kali pertama saya memenangi ASK 2009 dan tidak jangka sama sekali akan menang untuk kategori ini (Pelakon Wanita Terbaik Filem). Saya sangat bersyukur dengan kemenangan ini.

"Apabila saya lihat 'Papadom' tidak terpilih ke pencalonan akhir, saya tidak meletak sebarang harapan untuk menang.

"Bukan hendak merendahkan 'KAMI', cuma apabila melihatkan pencalonan yang lain, saya tidak letak harapan tinggi pada filem ini. Apabila diangkat sebagai pemenang, saya benar-benar terkejut," ujar Liyana dengan nada ceria.

Bercerita lanjut mengenai kemenangan berganda ini, Liyana berkata, kejayaan besar ini sebenarnya memberi cabaran lebih besar untuknya terus bekerja dengan lebih gigih di hari mendatang.

Ujar Liyana lagi, faktor yang memungkinkan kemenangannya untuk filem 'KAMI' disebabkan oleh kelainan watak yang dipersembahkan. Tambah Liyana, wataknya di dalam filem 'KAMI' yang bermain dengan karakter jalanan (street character) itu mungkin faktor utama pemilihan itu.

"Watak saya di dalam 'KAMI' memerlukan saya melakonkan seorang gadis yang selamba dan kasar tetapi suka menulis. Watak ini walaupun nampak ringkas tapi sukar sebenarnya untuk dihayati. Mungkin pihak juri nampak aspek itu dan memilih saya untuk memenangi kategori ini," ujar Liyana merendah diri.

Tambah Liyana, sebagai pelakon dia berazam untuk berlakon sebanyak mungkin filem yang berlainan genre dan cerita supaya dapat memberi variasi kepada lakonannya.

"Kalau tidak menang trofi sekali pun, setiap kali berlakon saya akan pasti beri yang terbaik. Saya akan cuba memberi yang terbaik seperti yang diharapkan oleh pengarah dan kehendak skrip.

"Kemenangan ini adalah motivasi untuk saya agar terus memperbaiki segala kelemahan dan kualiti lakonan. Insyallah, di masa akan datang, saya akan mencari watak lebih mencabar lagi.

Mengakui dirinya selesa bekerja bersama pengarah filem bebas, Liyana berkata, dia boleh belajar banyak perkara baru daripada kumpulan pengarah ini kerana perspektif dan cara pemikiran mereka yang sedikit berbeza daripada pengarah filem arus perdana.

"Walaupun saya dikenali menerusi banyak filem komersil, tapi saya tetap teruja untuk berlakon di bawah pengarah bebas. Pengalaman berlakon 'KAMI' bersama pengarah bebas, Effendi dan Fariza umpamanya boleh saya sifatkan sebagai cukup istimewa dan berbeza.

"Malah, saya kini di dalam proses perbincangan untuk bekerja di bawah seorang lagi pengarah bebas untuk projek filem terbaru.

"Tapi, saya tidak dapat umumkan watak dan tajuk filem ini lagi kerana ia masih terlalu awal," cerita Liyana yang enggan mengumumkan lebih lanjut tentang projek terbarunya itu.

Artikel Berikut

Artikel Lain