suria

Gillian Cuba Lupakan Skandal Gambar Bogel Dengan Edison Chen

Gillian mengaku kontroversi yang melanda dulu merupakan perkara paling teruk yang berlaku dalam hidupnya - foto THE STAR oleh ABDUL RAHMAN EMBONG
Gillian mengaku kontroversi yang melanda dulu merupakan perkara paling teruk yang berlaku dalam hidupnya - foto THE STAR oleh ABDUL RAHMAN EMBONG
Gillian mengaku kontroversi yang melanda dulu merupakan perkara paling teruk yang berlaku dalam hidupnya - foto THE STAR oleh ABDUL RAHMAN EMBONG

PELAKON dan penyanyi Hong Kong yang seringkali diselubungi kontroversi, Gillian Chung kini kembali dalam industri seni hiburan setelah dihambat skandal gambar bogelnya dengan pelakon popular Hong Kong Edison Chen lebih setahun lalu.

Sejak insiden itu, wanita berusia 28 tahun ini terus menyepi daripada karier seni dan kini memulakan kehidupan yang baru. Peluang bertemu dengan aktres seksi ini ketika dia melancarkan minuman keras Jaz Rush di De' Bali Restaurant & Bistro, Johor Bharu pada Jumaat lalu, membawa penampilan 'comeback' yang lebih matang.

Gillian mengaku pengalaman silam itu merupakan perkara paling teruk yang berlaku dalam hidupnya.

"Banyak yang saya pelajari selepas kontroversi itu berlaku. Dari situ saya dapat rasa bagaimana layanan orang ramai terhadap saya dibandingkan dengan sebelumnya. Saya juga sudah dapat kenal siapa kawan dan lawan.

"Sebelum itu, saya dan kawan lain selalu belajar menari dalam satu kumpulan...tak bermakna kami perlu belajar menari kerana kami suka tetapi disebabkan konsert, kami harus membuat persediaan dalam tempoh 14 hari untuk berlatih menyanyi banyak lagu.

"Selepas kontroversi itu, mungkin saya mempunyai lebih banyak perkara lain untuk dilakukan seperti belajar menari, seni mempertahankan diri, menyanyi dan berlakon.

"Saya masih mencuba untuk belajar banyak perkara kerana hidup ini sementara sahaja..," ulasnya yang sebelum itu mengelak untuk disoal tentang kisah silamnya.

Bagi Gillian, sebolehnya dia mahu melupakan skandal gambar bogel dengan Edison Chen, bekas kekasihnya itu kerana kariernya terjejas teruk sejak insiden itu.

Setelah diterima kembali dalam industri seni, Gillian hanya bersikap positif dengan karier yang dilakukan sekarang.

Menyentuh tentang kariernya sekarang, penyanyi dari kumpulan Twins ini telah dilantik sebagai duta produk minuman keras Jaz Rush sejak Jun lalu selama setahun.

Ditanya mengenai bayaran yang diterima atas perlantikannya itu, wanita comel ini hanya tersenyum dan menjawab 'harga yang bagus dan berpatutan'.

Kedatangan Gillian di Malaysia ternyata mendapat sambutan daripada para peminatnya. Antara peminat yang hadir di pelancaran Jaz Rush di De' Bali Restaurant & Bistro baru-baru ini datang dari Johor Bharu Taiping, Perak, Kuala Lumpur dan Singapura.

Dia meluahkan perasaan terujanya untuk datang ke Malaysia buat kali kedua memandangkan peminatnya di sini begitu ramah sekali.

Gillian yang sepatutnya mendarat dengan helikopter di Sutera Mall, Johor Bharu pada pukul 6.30 petang tiba di situ dengan menaiki kereta Toyota Alphard lewat setengah jam. Namun dia masih sempat merakamkan gambar di helikopter yang disediakan sebagai salah satu langkah promosi produk itu.

"Para peminat sangat menyokong saya. Mungkin ada segelintir di kalangan mereka yang betul-betul menyukai saya dan tidak kurang yang baru menyukai saya. Mungkin juga ada yang membuat kajian tentang saya dan lebih memahami diri saya," jawab Gillian dalam nada tenang.

Dalam masa yang sama, pengalaman lalu bukan sahaja mematangkan dirinya malah membuatkan dirinya lebih merendah diri.

"Saya rasa Twins (merujuk kepada rakan sekumpulannya dalam Twins Charlene Choi) sangat bertuah kerana masih bergerak dengan baik...selepas melalui tahap itu, saya sebenarnya melalui suasana yang agak berbeza dengan apa yang dilalui oleh orang lain.

"Saya rasa selepas ini saya perlu lebih banyak belajar bagaimana cara untuk melayan orang dengan lebih baik sama seperti yang dilakukan oleh orang lain," jelasnya.

Selain itu, pelakon filem 'Happy Go Lucky', 'The Twins Effect', 'Fantasia', 'House of Fury', 'Naraka 19', dan 'Rough Addiction' ini turut dalam proses merakamkan EP yang akan memuatkan lagu terbarunya dan diterbitkan pada pertengahan Disember ini.

Gillian juga bakal muncul dengan sebuah filem yang akan ditayangkan di Hong Kong mulai pertengahan Disember ini juga.

Pada Mac depan, dia juga dijangka akan menjayakan sebuah persembahan pentas di samping rakan sekumpulannya dalam Twins iaitu Charlene Choi.

Apa kata peminat Gillian:

Pauline Tang dari Singapura- "Gillian banyak melakukan peningkatan selepas skandal itu. Pemikirannya juga lebih matang."

Peng Eng Soon dari Taiping- "Skandalnya dengan Edison tidak menghalang saya untuk menyukai Gillian."

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Akshay Kumar Pakai Baju Pinjam

Artikel Lain