suria

'Wayang' Buat Kejutan Di ASK Setelah Tak 'Dipandang' Di FFM21

'Saya tak sangka 'Wayang' akan diangkat di ASK 2009, selepas filem itu seakan 'dipingirkan' di FFM21' - Hatta Azad Khan
'Saya tak sangka 'Wayang' akan diangkat di ASK 2009, selepas filem itu seakan 'dipingirkan' di FFM21' - Hatta Azad Khan
'Saya tak sangka 'Wayang' akan diangkat di ASK 2009, selepas filem itu seakan 'dipingirkan' di FFM21' - Hatta Azad Khan

PENGARAH filem 'Wayang', Prof Dr Hatta Azad Khan bagaikan tidak percaya apabila filemnya diangkat sebagai Filem Terbaik di Anugerah Skrin 2009 (ASK 2009) baru-baru ini.

Lebih manis, karya yang seolah-olah 'diketepikan' oleh panel juri di Festival Filem Malaysia ke-21 pada 2008 ini, menjadi pilihan juri ASK 2009 apabila melakar sejarah tersendiri menerusi kemenangan Hatta sebagai Pengarah Terbaik Filem.

Menurut Hatta, kejayaan 'Wayang' adalah sesuatu di luar jangkaannya.

"Sejujurnya saya amat terkejut dengan kejayaan 'Wayang'. Apatah lagi, kami bukan sahaja menang satu tetapi empat anugerah utama. Ia satu penghargaan buat filem ini dan saya berterima kasih kepada pihak penjurian yang sebulat suara mengangkat filem ini memenangi kategori yang dipertandingkan," kata Hatta ketika dihubungi mStar Online baru-baru ini.

Melihatkan pencabar-pencabar lain termasuk 'Talentime' (Yasmin Ahmad), 'Budak Kelantan' (Wan Azli), 'Susuk' (Amir Muhammad dan Naeim Ghalili) dan 'KAMI The Movie' (Effendee Mazlan & Fariza Azlina Isahak), pengarah filem juga Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik, UiTM ini berkata pemilihan filem itu sehingga merangkul empat anugerah di ASK 2009 adalah kenyataan yang cukup mengejutkan.

Secara peribadi, Hatta berkata dia tidak menaruh harapan yang tinggi kepada pencalonan filem itu di ASK 2009 ekoran kegagalan 'Wayang' untuk menyinar di FFM21. Namun, dia tetap memanjatkan kesyukuran di atas pengiktirafan itu.

"Saya amat bersyukur dengan pengiktirafan ini. Walaupun 'Wayang' tidak dipandang sebelum ini, sekurang-kurangnya ada pihak juga yang suka pada karya ini.

"Saya berterima kasih kepada pihak juri terbabit. Selain itu, saya juga harus beri kredit kepada pelakon-pelakon yang telah melakukan yang terbaik untuk filem ini," kata Hatta yang kini sibuk membuat persiapan untuk filem terbaru arahannya bertajuk, 'Asam Garam' bersama kumpulan Senario.

Tidakkah kemenangan mengejut 'Wayang' di ASK 2009 yang 'dipinggirkan' di FFM21 sebelum ini secara tidak langsung menimbulkan keraguan terhadap kredibiliti penjurian Festival itu? Ia seolah memberi gambaran bahawa penjurian di FFM21 'terlepas pandang' dalam menilai kualiti sesebuah karya yang sepatutnya diangkat.

Bagaimanapun, professor filem yang cukup sinonim dengan sentuhan komedi sinis ini punya pendapat berbeza.

"Pada saya, setiap juri mempunyai kehendak dan keinginan berbeza. Setiap orang yang menilai juga punya pandangan berbeza terhadap sesebuah filem itu," kata Hatta.

Tambahnya, setiap penganugerahan itu mempunyai objektif dan matlamat tertentu. Mungkin ketika filemnya dicalonkan di Festival tahun lalu, panel juri mempunyai kehendak dan keinginan berbeza dalam membuat pemilihan.

"Mungkin juri di FFM21 dan ASK 2009 mempunyai pandangan dan kehendak berbeza. Mungkin sebab itulah filem ini tidak dipilih di FFM, sebaliknya diangkat di ASK," jelas Hatta tenang.

Mengulas lanjut kejayaan 'Wayang' di ASK berbanding di FFM21, Hatta berkata, kejayaan besar filem itu di ASK mungkin disebabkan oleh keputusan pemilihan dilakukan oleh barisan juri yang berbeza daripada FFM.

"Saya tidak tahu dan tidak kenal siapa panel juri yang membuat penilaian untuk ASK. Tapi yang pasti, mungkin kali ini penilaian ini dilakukan oleh juri yang berbeza daripada juri di FFM21.

"Mungkin sebab itu, 'Wayang' yang seolah diketepikan di FFM21 mendapat pengiktirafan di ASK 2009," katanya. Turut berkongsi kejayaan bersama Hatta ialah aktor berkarisma Eman Manan, yang telah dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Filem dan Zulhuzaimy yang dipilih sekali lagi mengungguli kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem selepas kejayaan yang sama di FFM21.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain