suria

Ashraf masih sayang Sherry

Ashraf dan Sherry telah berpisah sejak lebih tiga bulan lalu. -foto The Star oleh SHAARI CHE MAT
Ashraf dan Sherry telah berpisah sejak lebih tiga bulan lalu. -foto The Star oleh SHAARI CHE MAT
Ashraf dan Sherry telah berpisah sejak lebih tiga bulan lalu. -foto The Star oleh SHAARI CHE MAT

BAIK Sherry Ibrahim mahupun Ashraf Muslim, kedua-duanya boleh dikatakan sebagai pasangan pelakon yang berpisah secara baik selepas masing-masing bercinta selama lebih dua tahun.

Tiada perasaan untuk mengungkit kisah cinta antara satu sama lain sebaliknya hanya berserah kepada takdir Tuhan yang sememangnya mereka tidak ada jodoh untuk sampai ke jinjang pelamin.

Namun begitu, pasangan bekas kekasih ini masih lagi berhubung antara satu sama lain dan cukuplah lebih selesa menjalinkan hubungan sebagai kawan.

Sebelum ini, Sherry, 26, pernah mengaku walaupun dirinya sedang cuba membiasakan diri tanpa Ashraf di sisi, namun dia tidak nafikan, sukar untuk membohongi diri sendiri tentang 'kesunyian' yang melanda dirinya.

Begitu juga dengan Ashraf, 28, walaupun perpisahan mereka telah berlalu sejak lebih tiga bulan lalu, dia akui dirinya masih menyayangi bekas kekasihnya itu.

“Kadangkala diri kita tidak sempurna, jadi masing-masing buat keputusan untuk berpisah secara baik. Kami kena redha kerana cinta tidak boleh dipaksa.

“Memang saya masih menyayanginya tetapi nak buat macamana kerana itu sahaja jalan penyelesaiannya.

“Bagaimanapun, kami masih berkawan dan baik dengan keluarga antara satu sama lain cuma tidak serapat dulu,” katanya yang baru pulang dari mengerjakan umrah semasa Hari Raya baru-baru ini.

Ditanya tentang perkara yang didoakan olehnya di sana, Ashraf menjawab:

“Macam-macam yang saya doakan termasuk doa untuk bertemu dengan pasangan hidup sampai akhir hayat.

“Saya harap pasangan saya itu adalah seorang yang ikhlas dan solehah dari segi iman dan hati. Itu yang penting dan selebihnya cukuplah jika perempuan itu penuh kesederhanaan dan memahami saya.”

Selepas pulang dari umrah, Ashraf masih lagi meneruskan ibadatnya di sini dan tidak putus-putus berdoa kepada Allah.

Hatinya sekarang hanya ingin memohon petunjuk dari Tuhan dan moga dipermudahkan kehidupannya pada masa akan datang.

Lantas apabila ditanya tentang pengganti Sherry, pelakon yang terkenal dengan watak ustaz ini berkata dia mahu lebih mengutamakan karier dan keluarganya berbanding pasangan hidup.

“Mula tahun ini, saya mula sedar tentang apa yang saya lakukan sebelum ini dan mahu lebih fokuskan untuk perbaiki diri-sendiri.

“Saya rasa dengan cara bersolat, mengaji dan bermuhasabah diri kepada Tuhan membuatkan kita lebih memahami tentang sebab musabab yang berlaku dalam diri kita.

“Semasa mengerja umrah pun, ketika di depan Kaabah, saya rasa seperti semua persoalan tentang kehidupan saya dan diri sendiri telah terjawab.

“Misalnya, kenapa kita hanya berbuka puasa dua minit di sana iaitu minum air zam zam dan makan kurma kemudian terus solat Maghrib.

“Bila saya fikir balik, dalam hidup ni kita tak boleh riyak kerana di sana kita semua sama sahaja. Bila saya faham, baru saya sedar.

“Saya juga menjadi lebih insaf apabila melihat orang cacat yang terengsot-engsot untuk masuk dan solat di masjid dan selepas itu menangis-nangis ketika berdoa dengan Tuhan.

“Jadi, apabila orang yang tak faham tentang gaduh-gaduh dan dengki-mendengki, pasti akan menemui petunjuk di sana,” ujar Ashraf dalam nada tenang dan lemah-lembut.

Menyentuh tentang karier seninya, Ashraf bakal muncul dengan drama 26 episod ‘Jangan Pandang Belakang 2’ dengan memegang watak utama iaitu Ustaz Shakir.

Cerita Ashraf, ramai watak baru akan diserap masuk dalam drama sekuel daripada ‘Jangan Pandang Belakang’ itu.

“Kelainan dalam musim kedua ini, banyak watak baru seperti Shaheizy Sam dan banyak konflik yang akan timbul.

“Saya juga berlakon sebagai pelakon jemputan dalam drama episod ‘Kala Malam Bulan Mengambang’,” katanya yang juga melakukan bisnes menternak kambing yang kini telah mencecah 700 hingga ke 800 ekor.

Dalam nada syukur, Ashraf berkata bisnesnya berada dalam keadaan baik dan dia akan pulang ke kampungnya di Melaka untuk memantau bisnes itu apabila ada masa lapang.

Artikel Lain