suria

Astro Prima beri bonus kepada pelakon dan krew ‘Mertua Vs Menantu’

SATU sejarah baru dalam dunia penerbitan drama TV akan berlaku apabila buat pertama kalinya pihak saluran tv Astro Prima akan memberikan bonus berupa wang tunai kepada pihak MIG Production Sdn. Bhd.

Pemberian bonus ini merupakan ganjaran di atas kejayaan drama bersiri ‘Mertua Vs Menantu’ musim pertama mencatatkan jumlah 2.7 juta penonton (termasuk siaran ulangan) iaitu rating tertinggi dalam sejarah stesen tv berbayar, Astro.

Sementara itu, MIG dalam majlis berasingan akan mengagihkan kesemua duit tersebut kepada semua pelakon dan krew yang terlibat memastikan kejayaan manis ‘Mertua Vs Menantu 1’.

Produsernya, David Teo berkata dia akan menghadiahkan semua wang tunai itu kepada pelakon dan krew yang terlibat tanpa dia mengambil satu sen pun.

Tambahnya lagi, dengan itu juga setiap pihak yang terlibat dalam drama itu perlu memberikan komitmen yang tinggi untuk musim kedua nanti.

“Saya akan beri semua bonus oleh Astro kepada pelakon dan krew yang jayakan ‘Mertua Vs Menantu’.

“Jadi, artis kena bagi 101 peratus komitmen untuk musim kedua ini..

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada penulis skripnya, Zarihah Hassan kerana tanpa skrip yang bagus drama ini tidak akan bagus,” ucap David dalam satu sidang media baru-baru ini.

Kejayaan luar biasa ‘Mertua Vs Menantu 1’ membuatkan pihak Astro Prima tidak teragak-agak sekali lagi bekerjasama dengan MIG menghasilkan sambungan yang lebih menghiburkan sekaligus mencatatkan kejayaan lebih membanggakan.

Mengekalkan pengarah musim pertama iaitu Mohammed Feroz Kader, ‘Mertua Vs Menantu 2’ juga masih mengekalkan baris pelakonnya seperti Erra Fazira, Aqasha. Rozie Othman, Jehan Miskin, Raja Farah, Rozima Bidin selain memperkenalkan watak baru yang dibawa oleh pelakon terkenal Farid Kamil, Lisa Surihani dan Ezani Nizariff.

“Pihak MIG dan Astro Prima yakin dengan gabungan barisan pelakon dan jalan cerita yang lebih menarik membuatkan penonton tidak sabar mengikuti ‘peperangan’ antara mertua dan menantu dalam ‘Mertua Vs Menantu 2’ ini,” kata David lagi.

Jalan ceritanya masih berkisar kepada ‘perang mertua-menantu’ yang masing-masing berusaha menegakkan pendapat, pandangan dan prinsip mereka.

Perjalanan cerita sepanjang musim kedua (26 episod) lebih menarik, menghiburkan dan sarat dengan mesej berguna.

Kemunculan ‘si comel’ iaitu anak sulung Nurul Ain lakonan Erra dan Rosyam (Aqasha) yang cucu sulung Datin Faridah (Rozie) menambahkan lagi seri cerita ini.

Plot utama cerita ini kemudian disokong oleh subplot-subplot yang kuat. Penggambaran akan dijalankan di sekitar Lembah Klang.

Artikel Sebelum

Artikel Lain