suria

Yasmin Ahmad terus disanjung, kali ini pada Festival Filem Malaysia-Australia

Penganjur Australian Malaysia Film Festival (AMFF) Kate Stephens ketika ditemui BERNAMA di sini, Isnin. AMFF yang akan berlangsung selama empat hari di Australian Centre for the Moving Image, Federation Square bermula 4 Okt ini akan memberi penghormatan dalam mengenang pembuat filem Malaysia terkemuka Yasmin Ahmad. -Foto BERNAMA
Penganjur Australian Malaysia Film Festival (AMFF) Kate Stephens ketika ditemui BERNAMA di sini, Isnin. AMFF yang akan berlangsung selama empat hari di Australian Centre for the Moving Image, Federation Square bermula 4 Okt ini akan memberi penghormatan dalam mengenang pembuat filem Malaysia terkemuka Yasmin Ahmad. -Foto BERNAMA
Penganjur Australian Malaysia Film Festival (AMFF) Kate Stephens ketika ditemui BERNAMA di sini, Isnin. AMFF yang akan berlangsung selama empat hari di Australian Centre for the Moving Image, Federation Square bermula 4 Okt ini akan memberi penghormatan dalam mengenang pembuat filem Malaysia terkemuka Yasmin Ahmad. -Foto BERNAMA

MELBOURNE: Yasmin Ahmad, pengarah dan produser filem Malaysia yang disanjung tinggi, mungkin telah meninggalkan kita namun beliau terus mendapat penghormatan.

Ini dapat dilihat melalui Festival Filem Malaysia Australia ke3 yang akan diadakan di Australian Centre for the Moving Image (ACMI), mulai 4 hingga 7 Oktober ini di mana festival itu akan menayangkan filem beliau, "Talentime" dan "Muallaf" pada majlis pembukaan dan penutup.

"Ia bagi meraikan kerja-kerja beliau yang mencapai kelas dunia yang sentiasa kaya dengan bahan dan lebih kaya dalam integriti, kata Kate Stephens, salah seorang penganjur festival itu bersama dengan Ade Djajamihardja.

Yasmin, 51, yang meninggal dunia akibat strok dan pendarahan di bahagian otak pada 26 Julai sentiasa dianggap sebagai pengarah filem dan iklan terkenal kerana hasil karyanya sentiasa memenangi anugerah dan penghargaan khas pada beberapa festival filem antarabangsa yang berprestij di Berlin, Cannes, Tokyo, San Francisco dan Pusan.

"Filem-filem Yasmin sarat dengan mesej positif mengenai integrasi kaum yang memecahkan benteng kebudayaan konvensional. Disebabkan ciri-ciri ini, beliau pada satu ketika dikelilingi kontroversi dan kritikan pedas. Bagaimanapun, Yasmin sentiasa tabah dengan pegangannya bahawa semua manusia adalah sama di sisi Allah," kata Ade.

"Apabila ditanya mengenai tema setiap filemfilemnya, Yasmin akan sentiasa menyebut bahawa ia mengenai kemanusiaan dan kasih sayang dua elemen paling penting dalam kemanusiaan. Saya bangga kerana mengenali beliau secara peribadi sebagai seorang kawan."

Pada malam pembukaan, yang akan mempersembahkan musik dan tarian Malaysia dan masakan, akan berakhir dengan tayangan filem karya Yasmin, "Talentime", usaha beliau sebelum meninggal dunia.

Pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke22, Allahyarham Yasmin dinobatkan sebagai pengarah terbaik filem "Talentime", sebuah kisah cinta antara seorang budak lelaki India dengan seorang gadis Melayu berdarah campuran yang berjumpa dan jatuh cinta semasa pertandingan talentime.

"Acara ini memberikan kita peluang untuk menyaksikan sebahagian daripada filem terbaik Malaysia dan memudahkan kita memahami mengenai masyarakat, sejarah dan kebudayaan rakyat Malaysia melalui ceritacerita yang dipaparkan dari kaca mata rakyat Malaysia," kata Stephens.

Festival filem tahun ini juga merupakan sebahagian daripada pembukaan "Minggu Malaysia", satu inisiatif yang dijalankan oleh pelbagai pertubuhan penuntut Malaysia di Australia yang memberi faedah kepada 7,500 penuntut Malaysia di Australia antara 27 Sept dan 13 Okt.

Walaupun terdapat minat yang mendalam bagi festival ini di kalangan rakyat Malaysia yang menetap di Australia, terutamanya penuntut, beberapa usaha khusus sedang dibuat bagi menggalakkan lebih ramai penuntut Austrlia untuk turut hadir terutama bagi mereka yang mengambil jurusan bahasa serantau, kebudayaan dan hubungan antarabangsa.

Filem-filem yang dipilih terdiri daripada beberapa genre dari komedi kepada animasi dan aksi pengembaraan dan melodrama.

"Kami telah memilih filem-filem yang mendapat sanjungan yang bukan sahaja memaparkan kemajuan pesat kepakaran teknikal dalam industri filem Malaysia tetapi juga nilai-nilai hiburannya," kata pegawai perhubungan media festival itu Farah Azalea.

Ini termasuk filem "Geng the Movie"; "Cicakman 2" dan sebuah filem pendek "My Telatori", satu usaha yang dihasilkan oleh penuntut The One Academy of Malaysia yang telah memenangi anugerah animasi terbaik pada Festival Filem Malaysia tahun ini.

Sebuah lagi filem yang menarik ialah "Pensil", cerita mengenai keazaman seorang lelaki cacat untuk berjaya dalam kehidupan semasa menghadapi pelbagai pandangan prejudis dan kesusahan.

Festival itu akan berakhir pada 7 Okt dengan 'Muallaf, sebuah lagi filem Yasmin pada 2008, yang mengisahkan mengenai dua adik beradik perempuan beragama Islam yang melarikan diri daripada bapa mereka yang panas baran untuk menjalin hubungan yang tidak mungkin berlaku dengan seorang budak lelaki beragama Katolik dengan kisah silam yang buruk. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain