suria

Erma: Umie tidak sesuai bawa watak Che Aminah!

Umie Aida (kiri) membawakan watak Che Aminah, ibu angkat kepada Natrah (lakonan Diana Danielle) dalam teater itu. -Foto UTUSAN
Umie Aida (kiri) membawakan watak Che Aminah, ibu angkat kepada Natrah (lakonan Diana Danielle) dalam teater itu. -Foto UTUSAN
Umie Aida (kiri) membawakan watak Che Aminah, ibu angkat kepada Natrah (lakonan Diana Danielle) dalam teater itu. -Foto UTUSAN

APABILA bintang muda, Diana Danielle bersetuju membawakan watak Natrah di dalam teater Natrah yang akan dipentaskan di Istana Budaya (IB) bermula 17 hingga 25 November depan, pengarah teater itu Erma Fatima ternyata dapat menarik nafas lega.

Ujar Erma, dia yakin Diana mampu menjiwai watak gadis Belanda itu yang pernah mencetuskan kontroversi di Singapura sekitar era 50an dulu, walaupun ini adalah kali pertama pelakon muda itu bakal beraksi di pentas teater.

Begitu juga dengan pemilihan Remy Ishak yang dipertanggungjawabkan memegang watak Mansor Adabi, suami kepada Natrah yang dikahwininya ketika Natrah atau nama sebenarnya Maria Hurberdina Bertha Hertogh baru berusia 13 tahun.

Tutur Erma, dia memang amat terpesona dengan wajah lelaki Melayu yang dimiliki oleh Remy dan melihat kepada bakat lakonan pelakon yang semakin melonjak naik itu, Erma yakin Remy cukup sesuai untuk watak Mansor.

Namun begitu, berbeza pula dengan pemilihan aktres Umie Aida yang ditawarkan untuk watak Che Aminah, ibu angkat kepada Natrah.

Menurut Erma, tawaran kepada adiknya itu bukan dibuat oleh dirinya sendiri, tetapi diberikan oleh Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani.

"Sejujurnya bagi saya, Umie tidak begitu sesuai untuk watak tersebut kerana kalau diikutkan, saya ingin cari wajah yang gelap sedikit seperti karektor asal itu sendiri.

"Tapi mungkin perkara itu kita boleh atasi dengan teknik solekan. Namun begitu, terus-terang saya katakan, Umie bukanlah calon pilihan saya. Dan dia akan 'memalapetakakan' diri dia sendiri kerana dia sudah lama tidak berlakon teater.

"Lagipun, wataknya amat berat. Itu yang merisaukan saya," kata Erma yang ditemui pada sidang media pengumuman barisan pelakon utama teater yang merupakan cetusan idea Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia Datuk Seri Dr Rais Yatim itu.

Meskipun kurang berpuas hati dengan pemilihan Umie, namun luah Erma, dia akan cuba memastikan aktres berusia 36 tahun itu mampu memberikan yang terbaik menerusi watak Che Aminah itu.

"Bagi saya, wajah Umie lembut dan klasik manakala Che Aminah adalah seorang yang berperwatakan tegas. Aminah juga seorang yang bijak sehinggakan ketika itu, dia sangat dihormati oleh Jepun.

"Saya mahukan elemen-elemen ini ada di dalam diri Umie. Dan saya tidak mahu lihat watak 'Embun' dalam diri dia untuk pementasan ini," kata Erma.

Dalam pada itu, mengulas lanjut tentang teater tersebut, ujar Erma, dia tidak menghadapi masalah untuk membuat kajian tentang kisah Natrah ini memandangkan dia turut mendapat bantuan daripada Datin Fatini Yaacob, yang merupakan penasihat teater dan banyak menulis artikel serta mengkaji tentang Natrah sejak 20 tahun lalu.

"Saya banyak mendapat maklumat daripada Fatini dan kami akan berbincang bersama dengan penulis skrip, Al-Jefri. Secara keseluruhannya, saya hanya mempunyai durasi lebih kurang sejam 45 minit untuk paparkan keseluruhan cerita Natrah.

"Saya akui, walaupun saya amat teruja untuk mengarah teater ini, tetapi ada perkara lain juga yang perlu saya perhalusi kerana kisah Natrah cukup sensitif yang mana ia melibatkan agama dan bangsa.

"Dan saya percaya, sebenarnya pasti ada sebab tertentu mengapa Datuk Seri Rais ingin mengangkat naskhah ini untuk dipentaskan," tutur Erma yang masih mencari pelakon untuk watak-watak sampingan yang lain.

Natrah yang meninggal dunia pada 8 Julai lalu di Huijbergen, Belanda, pada usia 72 tahun setelah menderita akibat penyakit leukemia sememangnya mempunyai perjalanan hidup yang penuh mencabar.

Natrah yang dipelihara oleh Che Aminah, sejak usia lima tahun telah menjadi rebutan di antara keluarga kandung dan ibu angkatnya itu sehingga mencetuskan rusuhan di Singapura apabila masyarakat Islam kecewa gadis itu akan dimurtadkan oleh keluarga kandungnya.

Bukan saja sedih kerana terpaksa berpisah dengan ibu angkatnya, malah Natrah juga amat menderita kerana turut dipisahkan dengan suaminya, Mansor.

"Bagi pementasan ini, saya tidak mahu tunjukkan tentang kisah ibu yang kehilangan anak kerana itu sudah biasa kita tonton di dalam drama-drama. Apa yang ingin saya ketengahkan ialah kebangkitan semangat orang Islam selepas kehilangan Natrah.

"Saya ingin bawa penonton berfikir apa yang sepatutnya kita lakukan untuk tidak kehilangan lebih ramai lagi 'Natrah' pada masa kini.

"Saya tidak nafikan, perkara ini amat sensitif, itu yang buatkan saya agak pening juga untuk fikirkan jalan cerita yang 'smooth'.

"Malah, di awal perbincangan mengenai teater ini, saya pernah menyimpan hasrat untuk menemui Natrah di Belanda. Tujuannya hanya satu, iaitu untuk mendengar sendiri masihkah ada kasih dan cinta dalam dirinya terhadap Islam.

"Tetapi sayangnya, dia meninggal dunia sebelum kami sempat meneruskan sebarang rancangan," ujar Erma yang tidak gentar andai kata teater ini akan mencetuskan kontroversi.

Artikel Lain